MPC kekalkan OPR 1.75 peratus - Utusan Malaysia

MPC kekalkan OPR 1.75 peratus

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Menurut jawatankuasa itu, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Katanya, inflasi juga telah meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.

Walau bagaimanapun, jelasnya, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan selanjutnya liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

“Dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan.

“Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan munculnya varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Malaysia jelas MPC, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes Covid-19.

Walau bagaimanapun, katanya, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai.

“Menjelang 2022, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan.

“Walau bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri.

“Hal ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan,” tambahnya.

Menurut MPC, sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2 hingga 3 pada tahun ini, setelah mencatatkan purata sebanyak 2.3 peratus sejak awal tahun hingga kini.

Jelasnya, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0 peratus pada tahun ini.

“Menjelang 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana. Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

“Walau bagaimanapun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” jelasnya.

Jawatankuasa itu menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Selain itu, katanya, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

“Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya