KOTA KINABALU: Hala tuju perjuangan politik Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi dimuktamadkan dengan penyertaan beliau dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kelmarin.
Keyakinan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu antara faktor mendorong bekas wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) menyertai parti berkenaan.
“Saya fikir oleh kerana Tan Sri Muhyiddin adalah kawan sama-sama dalam Kabinet dahulu, saya tahu dan kenal dia, itu sebabnya saya memutuskan menyertai Bersatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mohamaddin berkata, kedudukan Bersatu yang berada dalam komponen kerajaan hari ini memberi keyakinan kepada beliau bahawa perjuangan politiknya selari dengan Bersatu yang ingin memberi keutamaan kepada rakyat.
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, beliau mahu terus berkhidmat kepada rakyat di kawasannya di bawah payung Bersatu.
Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan permohonan keahlian Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama diperakui dan diterima dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Ahli Parlimen Lahad Datu itu memutuskan keluar Warisan pada 30 Oktober lalu bagi menjadi wakil rakyat Bebas di peringkat negeri dan Persekutuan.
Penyertaan Mohamaddin ke dalam Bersatu membolehkan blok kerajaan di Sabah kini memiliki 12 kerusi Parlimen manakala 13 kerusi pembangkang.- UTUSAN











