MB Kedah tak berani buat tuntutan rasmi kepada P. Pinang - Utusan Malaysia

MB Kedah tak berani buat tuntutan rasmi kepada P. Pinang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kesemua tuntutan  dibuat  Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang sebelum ini tidak pernah disuarakan menerusi platform rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Malah menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, tuntutan itu juga tidak pernah di bangkitkan Muhammad Sanusi dalam mesyuarat antara Ketua-ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar bersama Perdana Menteri sebelum ini.

Sebaliknya, jelas beliau, segala tuntutan  itu hanya disuarakan secara tidak rasmi atau hanya menerusi kenyataan serta pandangan kepada media.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin Menteri Besar Kedah tidak berani mahu menyebut isu ini dalam mesyuarat rasmi, tetapi cuma berani sebut di luar melalui kenyataan dan pandangan kepada media sahaja.

“Setakat ini, Pulau Pinang juga tidak pernah menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Kedah. 

“Jika Menteri Besar Kedah begitu serius dengan tuntutan, maka beliau sepatutnya menulis kepada Kerajaan Persekutuan dengan terang dan jelas berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan tambahan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) sama ada isu tuntutan yang dibuat Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang pernah dibangkitkan dalam forum rasmi atau pertemuan antara pemimpin negeri dan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut menuntut RM50 juta setahun dari Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat selepas menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.

Kepada soalan asal Khai Loon berkenaan strategi kerajaan negeri dalam menangani isu diplomasi dengan Kedah selain tidak melayan sebarang tuntutan dibuat, Kon Yeow berkata, perkara itu menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan dan Negeri yang mana Pulau Pinang adalah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957.

Sehubungan itu, tegas beliau,  Pulau Pinang tidak mempunyai keperluan untuk mempertimbangkan apa-apa tuntutan  Kerajaan Negeri Kedah.

“Malah, apabila kedaulatan Pulau Pinang dipersoalkan, saya dan Kerajaan Negeri serta saya percaya semua ahli-ahli di dalam dewan ini (ADUN) sama ada daripada kerajaan atau pembangkang terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya sebarang dakwaan berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah sewajarnya dicermati dan diberi penilaian secara mendalam serta menyeluruh dari aspek undang-undang.

“Ini supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan yang tidak perlu dalam kalangan rakyat khususnya penduduk di Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×