KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Adam Corrie tampil memberi pencerahan berhubung dakwaan individu muslim haram makan dengan menggunakan chop stick.
Jelas pelakon filem KL Gangster itu lagi, memang sudah menjadi budaya hidupnya sebelum memeluk agama Islam makan dengan cara sebegitu.
“Makan guna chop stick tidak haram ya. Sebab dulu pernah kena tegur, sudah masuk Islam tidak boleh pakai chop stick, haram katanya.
“Senyum selalu, selalu bersangka baik Insya-Allah hati tenang,” tulisnya di Instagram dengan hantaran video sedang makan menggunakan chop stick.
Katanya lagi, memang cara masyarakat Cina apabila makan kelihatan mahu cepat habis, tapi sebenarnya adalah untuk mengelakkan makanan dalam mangkuk tumpah.
“Memang begini cara orang Cina lelaki seperti saya makan nasi dalam mangkuk.
“Rapatkan mangkuk ke mulut, tolak nasi, lauk dan sebagainya guna chop stick laju-laju supaya nasi tidak tumpah. Bukan sebab gelojoh. Kalau nasi dalam pinggan saya guna tangan sahaja makan.
“Sebab makan di restoran Cina Muslim, sudah siap bagi Nasi Kukus Ayam Halia dalam mangkuk. Apa lagi makan pakai chopstick lah, budaya bangsa sendiri,” kongsinya.
Menjengah di ruangan komen perkongsian tersebut, Utusan Malaysia mendapati peminat dan pengikutnya masing-masing melayangkan komen positif.
“Ke negara Cina masa buat penggambaran untuk makanan halal. Wajib belajar pakai chop sticks.
“Sampailah sudah pandai sekarang ini, Alhamdulillah. Mana datangnya pula pakai chop sticks haram?,” komen personaliti TV Alhijrah, Farah Anuar.










