PETALING JAYA :Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Pingat Panglima Mangku Negara (P.M.N) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Pengurnian tersebut dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam laman sosial rasminya di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, Acryl Sani menerima darjah berkenaan dalam Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara, pagi tadi.
“Seluruh warga PDRM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Polis Negara, atas Penganugerahan Darjah Kebesaran Pingat P.M.N yang membawa gelaran Tan Sri,” jelas kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE