JOHOR BAHRU: Sejumlah 91 masjid dan 14 buah surau di seluruh Johor dibenarkan mengadakan majlis akad nikah di dewan pusat ibadah berkenaan bermula 7 November ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan tersebut yang bertujuan untuk menjaga dan menghidupkan syiar dan syariah Islam di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, selain dewan masjid dan surau terpilih, beberapa lokasi lain turut dibenarkan untuk diadakan majlis akad nikah.
Menurut beliau, lokasi tersebut adalah di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); Pejabat Kadi Daerah serta dewan dan balai raya.
“Pelaksanaan majlis akad nikah perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pekeliling berkenaan penganjuran majlis akan dikeluarkan dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, program membudayakan al-Quran, kuliah Maulidur Rasul, kuliah umum, kuliah khas, kuliah Dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat dibenarkan bermula hari ini dengan masa dihadkan hanya satu jam.
“Aktiviti lain turut dibenarkan termasuklah majlis zikir, selawat, program wirid dan tarikat. Malah, aktiviti kemasyarakatan lain seperti gotong-royong pembersihan kawasan masjid dan surau dibenarkan manakala aktiviti bermalam masih ditangguhkan,” ujarnya.
Tambah Tosrin, kehadiran penceramah, ahli masjid atau surau serta jemaah adalah tertakluk kepada mereka yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Namun, kelonggaran diberi kepada individu yang mempunyai surat perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” jelasnya.- UTUSAN