Isu dasar kabotaj dan projek dasar laut Apricot: Ka Siong didakwa berbohong  - Utusan Malaysia

Isu dasar kabotaj dan projek dasar laut Apricot: Ka Siong didakwa berbohong 

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong didakwa berbohong dan memalukan kerajaan apabila menggunakan fakta palsu mengenai status pemegang saham tunggal dan pemilikan projek kabel dasar laut Apricot yang terpaksa memintas Malaysia akibat dasar kabotaj negara yang belum selesai. 

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, terdapat pembohongan besar dalam kenyataan Presiden MCA itu semasa sesi debat terbuka bertajuk ‘Debat Kabotaj Negara’ yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan baru-baru ini yang menyebut, syarikat telekomunikasi Jepun, NTT Ltd. sebagai pemilik tunggal projek berkenaan. 

Bagaimanapun, setelah menyemak semula fakta tersebut melalui rakannya, Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming mendedahkan, terdapat pemegang saham lain dalam projek itu termasuk Google, Facebook dan PLDT yang merupakan syarikat telekomunikasi terbesar di Filipina dan Chunghwa Telecom di Taiwan. 

Menurutnya, Ka Siong antara lain menyebut nama individu Yoshio Sato sebagai pemain penting dalam projek itu dan menyandang jawatan Naib Presiden NTT seperti ditayangkan di slaid pembentangannya, sedangkan, Sato hanya bertindak sebagai pengurus dan bukan lagi pekerja kerana telah meninggalkan syarikat itu untuk menubuhkan syarikat sendiri yang berdaftar di Singapura, Orient Link Pte. Ltd. 

“Sato tidak lagi bersama NTT dan tidak boleh bercakap bagi pihak pelaburan masa hadapan NTT di rantau ini. Oleh kerana Sato tidak bekerja dengan syarikat ini, ia tidak boleh dianggap sebagai projek rasmi NTT. 

“Ia hanya projek yang dicadangkan daripada pelbagai projek kabel dasar laut di rantau ini. Sato dengan jelas mengatakan bahawa beliau memerlukan bantuan besar untuk projek ini kepada Ka Siong yang jelas menunjukkan beliau bergantung harap pada Ka Siong dan Sato tidak boleh dipercayai serta bebas dalam keterangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dasar kabotaj adalah dasar yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim di perairan negara ini merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja. 

Kapal-kapal pendaftaran Malaysia perlu memiliki Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah untuk beroperasi yang secara lazimnya dikenali sebagai perkhidmatan perkapalan domestik.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pengangkutan yang ketika itu diterajui Anthony Loke, kerajaan mengecualikan kapal-kapal bukan Malaysia daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) sekiranya terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Malang sekali, kehadiran Ka Siong sebagai menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada November tahun lalu menarik semula pengecualian itu menyebabkan Malaysia tercicir daripada disenarai dalam negara-negara terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer. 

Projek dasar laut Apricot pula adalah rancangan Google dan Facebook untuk membina sistem kabel dasar laut menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura yang dijangka siap pada tahun 2024 bagi membekalkan kapasiti internet yang sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik. 

Bukan sekali Malaysia terlepas peluang keemasan itu menyorot dua projek terdahulu iaitu jaringan Echo dan Bifrost juga berdepan situasi sama didakwa disebabkan dasar kabotaj yang telah ditarik semula. 

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, wujud konflik kepentingan pada Sato yang mempunyai hubungan dengan penerima manfaat utama dasar kabotaj pembaikan kabel dasar laut bernama Lim Soon Foo. 

Soon Foo ialah Pengerusi Eksekutif OMS, yang mendakwa syarikatnya sebagai satu-satunya entiti berkeupayaan membaiki kabel dasar laut, menyandang jawatan pengarah di syarikat Wen Capital Pte. Ltd. (WEN) yang merupakan pemegang sebahagian saham syarikat milik Sato, Orient Link Pte. Ltd.  

“Memandangkan syarikat Soon Foo adalah penerima manfaat utama dasar kabotaj pembaikan kabel dasar laut, terdapat konflik kepentingan yang jelas di pihak Sato kerana Sato tidak boleh bercakap secara bebas mengenai pandangan tentang dasar kabotaj jika salah seorang pemegang saham syarikatnya adalah penerima manfaat utama dasar ini,” katanya. 

Antara lain, kata Guan Eng, dakwaan Ka Siong dalam sesi debat ketika itu bahawa Kumpulan OMS yang baru-baru ini membeli kapal bernama Lodbrog yang berkeupayaan melakukan pembaikan kabel dasar laut Penetapan Kedudukan 2 (DP2), namun, laman rasmi OMS hanya menunjukkan keupayaan DP1. 

“Maka, tidak hairanlah jika Facebook, Google, Microsoft dan Amazon Web Services menulis tiga surat kepada perdana menteri menentang dasar kabotaj Ka Siong dan meminta pengembalian semula pengecualian untuk kapal asing yang menjalankan pembaikan kabel dasar laut. 

“Kegagalan Ka Siong memberi penjelasan tentang hal ini akan terus mencemarkan reputasi negara dalam kalangan industri digital antarabangsa dan mendatangkan risiko terhadap RM12-RM15 bilion pelaburan digital yang disebut bekas Pengerusi MDEC, Dr. Rais Husin selain kerugian langsung RM1.7 bilion dibangkitan MIDF Research House,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN