Hotel bajet tawar pelacur RM240 sekali langgan diserbu - Utusan Malaysia

Hotel bajet tawar pelacur RM240 sekali langgan diserbu

ANTARA wanita pelacur warga asing berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam siri Op Gegar melibatkan dua lokasi berbeza di Lembah Klang. - SUMBER/ JABATAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 34 wanita pelacur warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam siri Op Gegar melibatkan dua lokasi berbeza di Lembah Klang pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, operasi pertama dijalankan hasil risikan jabatan di sebuah hotel bajet terletak di kawasan Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

“Premis ini dikunjungi pelanggan warga tempatan dengan harga ditawarkan agak tinggi dari RM190 sehingga RM240 bagi satu langganan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Modus operandi kegiatan pelayan sundal atau GRO itu agak unik dengan pelanggan perlu memilih wanita digemarinya bagi tempahan dan bayaran dibuat atas talian terlebih dahulu.

Segala transaksi prosedur operasi standard (SOP) akitiviti pelacuran rakyat asing itu hanya berlangsung melalui aplikasi Wechat dan Telegram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Namun, taktik itu gagal dan hasil pemeriksaan berjaya menahan 14 wanita terdiri tujuh warga Thailand, empat dari Indonesia serta masing-masing seorang Myanmar, Laos dan Vietnam.

Turut dicekup ujar Khairul Dzaimee, ialah tiga orang lelaki rakyat Myanmar yang merupakan pekerja penjaga premis berkenaan dan ketika serbuan, tiada pelanggan berada di lokasi itu.

Operasi kedua pula melibatkan sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor yang dikawal ketat ‘tonto’ sebagai pemberi maklumat kepada pengendali premis tersebut sebelum serbuan.

Bagaimanapun usaha licik tersebut berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen apabila lokasi berkenaan sudah pun dikepung lebih awal tanpa disedari mereka.

“Ketika serbuan mengejut dibuat, ada cubaan GRO melarikan diri dan bersembunyi tetapi gagal apabila semua jalan keluar telah dikenal pasti oleh pegawai operasi,” tambah beliau.

Jabatan berkenaan jelasnya, kemudian berjaya menahan 16 wanita warga Vietnam disyaki pelacur dan juga seorang lelaki rakyat India yang merupakan pekerja di premis tersebut.

Khairul Dzaime berkata, siasatan awal mendapati GRO itu ditawarkan sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 selain pakej bawa pulang tetapi harga pula berbeza.

Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan yang lain di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta Peraturan Imigresen 1963.

Kesemuanya ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran serta pelbagai akta lain.

“Jabatan Imigresen akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang negara terutama membabitkan warga asing,” tegas beliau.

Tindakan ini ujarnya, amat penting demi memastikan usaha kerajaan membebaskan negara daripada kesan wabak Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat berjalan lancar.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN