ARAU: Selepas isu kenaikan harga barang binaan, masalah sama turut menghantui para kontraktor pendawaian elektrik apabila hampir kesemua kelengkapan tersebut naik mendadak.
Paling ketara ialah kenaikan harga barangan keperluan utama seperti paip plastik PVC dari RM1.40 sebatang kepada RM3.10 selain wayar dari RM48 satu gulung meningkat sehingga RM69 iaitu kenaikan lebih 30 peratus.
Antara barangan lain adalah seperti kipas yang naik daripada RM150 kepada RM180 serta lampu dari RM10 sehingga RM16 selain hampir kesemua kelengkapan bagi kerja-kerja pendawaian elektrik tersebut naik sekitar lima peratus atau lebih bagi sesetengah kedai.
Dakwa mereka, kenaikan tersebut adalah paling tinggi pernah direkodkan sekali gus bukan sahaja membebankan para kontraktor pendawaian elektrik sebaliknya para pelanggan yang terpaksa mengeluarkan lebih belanja.
Seorang kontraktor pendawaian elektrik, Muhd. Irfan Rodhilan,26, berkata, jika dahulu modal bagi kerja-kerja pendawaian elektrik bagi sebuah rumah melibatkan 10 biji lampu, lapan plug dan satu kipas ialah RM650.
Katanya, ekoran kenaikan tersebut, modal pendawaian elektrik bagi sebuah rumah itu meningkat kepada lebih RM900 sekali gus membebankan para pelanggan.
Ujarnya yang berpengalaman lebih lapan tahun dalam kerja-kerja pendawaian elektrik ini, harga paip PVC dan wayar itu tidak tetap dan boleh dikatakan setiap tiga hari harga meningkat.
“Kenaikan itu dikesan sejak tiga bulan lalu dan kebelakangan ini semakin meningkat. Kenaikan pada ketika ini adalah yang paling teruk. Jika ke kedai, hari ini harga lain, esok harga lain pula.
“Ekoran kenaikan tersebut, kadangkala saya seperti berat hendak memberitahu pelanggan namun apakan daya, terpaksa juga menaikkan harga ekoran kenaikan harga barangan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambah Muhd. Irfan, setiap bulan dia mampu mendapat kira-kira tiga projek pendawaian elektrik di rumah-rumah pelanggan.
“Saya sangat berharap kerajaan dapat memantau kenaikan harga tersebut yang sangat membebankan kami dan para pelanggan lain. Kalau kadang-kala tidak mengapa, ini kerap sangat naik,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan keluhan kontraktor binaan yang terkesan teruk serta berisiko gulung tikar berikutan kenaikan harga barang binaan terutama besi yang melambung sehingga mencecah 60 hingga 100 peratus sejak awal tahun ini.
Seorang lagi kontraktor pendawaian elektrik, Foo Yun Sen, 37, berkata, kenaikan tersebut dikesan sejak tiga bulan lalu dan kebelakangan ini harga tersebut semakin meningkat khususnya melibatkan paip PVC dan wayar yang merupakan material atau keperluan utama pendawaian elektrik.
Dia yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam kerja-kerja pendawaian elektrik itu berkata, kenaikan tersebut antara yang terburuk sepanjang dia melakukan kerja-kerja ini.
“Kerajaan perlu memandang serius isu kenaikan harga barangan ini yang dilihat melibatkan semua sektor ketika ini,” katanya.
Seorang lagi kontraktor pendawaian elektrik, Hafiz Zali,37, pula berharap isu kenaikan harga barangan ini dapat diselesaikan di saat mereka baru mula bangkit selepas terkesan teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19.
“Baru sahaja menerima sedikit kerja-kerja pendawaian elektrik, harga barangan pula naik. Saya harap ia dapat dikawal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











