Harga ayam Selangor RM9.50 - RM10 sekilogram - Utusan Malaysia

Harga ayam Selangor RM9.50 – RM10 sekilogram

PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Selangor  memeriksa harga ayam yang dijual antara RM9.50 hingga RM10.00 dekat 365 premis di seluruh negeri pada 8 hingga 25 November.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Harga ayam mentah standard di negeri ini mengalami kenaikan apabila dijual sekitar RM9.50 hingga RM10 sekilogram sementara telur ayam gred C pula dijual 32 hingga 45 sen sebiji.

Pemantauan pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selama lebih dua minggu sejak 8 November lalu terhadap sumber makanan itu mendapati, kenaikan harga bersandarkan kepada faktor perubahan cuaca serta peningkatan kos.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, sebanyak 365 premis diperiksa Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Selangor.

Menurutnya, sejumlah 46,725 kilogram bekalan ayam daging standard dan 2,188,648 biji telur ayam dapat memenuhi keperluan pengguna serta diharapkan dapat menstabilkan pergerakan harga runcit pengguna di Selangor. 

“Prestasi pergerakan harga ayam dan telur ayam keseluruhannya memuaskan disebabkan bekalan kedua-dua item ini pada tahap yang baik bagi lokaliti Selangor namun masih perlu diberi pemantauan rapi dan berkala. 

“Kedudukan bekalan mencukupi dan stabil bagi keperluan lokaliti negeri Selangor. Sejumlah 280 premis terpilih diperiksa bagi memantau keberadaan bekalan ayam dan telur ayam secara harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, bagaimanapun sebanyak 57 notis dikeluarkan kepada mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Hasil siasatan mendapati peniaga terbabit melakukan kesalahan mengambil untung secara berlebihan (mencatut) di bawah Seksyen 4 dan 14 akta sama dan diberi notis selama lima hari bekerja untuk memberikan justifikasi.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi berkata, penguat kuasa KPDNHEP membuat pemantauan harga sayuran di empat pasar utama di Shah Alam pada 22 hingga 25 November dan mendapati berlaku kenaikan minimum sebanyak tujuh kali  antara 10 sen hingga 30 sen bagi sejenis sayur.

Bagaimanapun, dalam tempoh sama itu juga mendapati enam kali sayur dijual pada harga kekal dan penurunan harga jualan juga dikesan sebanyak lima kali.

Namun, beliau menyifatkan pergerakan semasa harga runcit ada turun naik dan kekal sebagai seimbang dalam sistem ekonomi terbuka.

“10 jenis sayuran dipantau seperti kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis tempatan, kubis cina, cili merah minyak, cili merah kulai dan cili hijau.

“Berdasarkan pemantauan didapati harga runcit 10 jenis sayur yang diperiksa berada pada tahap memuaskan dan memerlukan pemantauan berterusan kerana didapati terdapat kenaikan yang minimum dan bersifat selektif hanya kepada beberapa jenis sayur tertentu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN