SIK: Sebuah jambatan besi menghubungkan Kampung Padang Toi dan Kampung Sungai Pau di sini runtuh selepas berlaku hakisan tebing di Sungai Chepir dalam kejadian banjir di kampung terbabit sejak Oktober lalu.
Jambatan besi yang dibina lebih 15 tahun lalu kini tidak selamat digunakan oleh penduduk selepas lantai jambatan itu juga patah.
Seorang penduduk, Abdul Wahid Hasan, 50, berkata, jambatan besi sepanjang 40 meter dan lebar empat meter sebelum ini membolehkan kereta dan lori kecil berulang alik membawa hasil kebun untuk dijual kepada peraih di pekan ini sejauh kira-kira 10 kilometer (km) sahaja.
Menurutnya, penduduk di sini terpaksa menggunakan jalan ladang lain yang agak teruk dengan lopak dan tanah merah sejauh lebih 15 km untuk membawa keluar hasil kebun ke pekan ini.
Katanya, sebahagian daripada kira-kira 200 penduduk di kampung Sungai Pau di sini juga menggunakan jambatan besi tersebut untuk berulang alik ke pekan tersebut.
“Laluan jambatan besi ini terputus dan merbahaya kepada pengguna kerana lantai separuh lantai besi patah dihanyutkan arus deras manakala tebingnya semakin terhakis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, keadaan hakisan tebing sekitar jambatan itu berlaku sejak lebih 10 tahun lalu terutamanya selepas kejadian banjir dan air Sungai Chepir melimpah menyebabkan ke dua-dua belah tebing mulai runtuh.
Seorang pemilik kebun kelapa sawit, Mohd. Zuki Ibrahim 59, berkata, pekebun-pekebun kecil di kampung itu terpaksa menggunakan jalan lain untuk membawa hasil jualan kebunnya ke pekan Sik.
“Jambatan ini merupakan laluan utama untuk penduduk kampung berulang alik bekerja dan mengeluarkan hasil tanaman untuk dijual setiap hari.
Katanya, sebelum ini, penduduk turut melakukan kerja-kerja gotong-royong untuk mengukuhkan laluan jambatan besi itu untuk laluan motosikal dan pejalan kaki.
“Bagaimanapun, selepas banjir bulan lalu, sekali lagi jambatan itu rosak dan laluan ini tidak boleh digunakan lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Junos Jusoh, 76, berkata, penduduk di sini mengharapkan kerajaan dapat membaiki pulih jambatan tersebut dengan segera untuk kemudahan penduduk berulang-alik ke pekan Sik.
“Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini sekiranya masih terdapat penduduk yang mahu menggunakan jambatan besi itu walaupun keadaannya didapati tidak selamat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










