KUALA SELANGOR: Pemandu dua buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan lori nyaris maut apabila kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Klang – Kuala Selangor di Sungai Sembilang, Jeram, di sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 8.23 pagi sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari balai bomba dan penyelamat Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian dan mendapat kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah Proton Wira dan Gen 2 serta Toyota Hilux.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan dan dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan hanya dua pemandu dikenal pasti identitinya iaitu Muhammad Syaril Asnawi, 22, yang memandu Toyota Hilux dan pemandu lori, Mohd. Firdaus Sholeh, 35.
Norazam berkata, pemandu Proton Wira dan Gen 2 tidak dapat dikenal pasti kerana dokumen pengenalan diri mereka tidak ditemukan.
Bagaimanapun, pihak bomba membersihkan jalan raya berkenaan serta mengalihkan kesemua kenderaan ke tepi jalan bagi memastikan keselamatan pengguna lain. – UTUSAN










