SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000 kepada 20,000 penjawat awam negeri ini yang akan dibayar pada 29 Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bonus itu diberikan menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang diumumkan pada Belanjawan Selangor 2022 hari ini.
Menurut beliau, jumlah itu lebih tinggi berbanding pemberian kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat bulan lalu.
Amirudin Shari memberitahu, BKK tersebut adalah kali kedua diberikan pada tahun ini melibatkan implikasi kewangan RM37.5 juta selepas bantuan pertama pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
“BKK pertama setengah bulan gaji dengan minimum RM1,000 telah disalurkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya.
Dalam pada itu, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2022 bertemakan ‘Kita Selangor: Negeri Tahan Uji Mengangkat Martabat Insani’, Amirudin turut memaklumkan sebanyak RM447.73 juta daripada RM1.222 bilion dalam peruntukan pengurusan dibelanjakan untuk membayar gaji kakitangan awam di Selangor.
Sebelum itu, Amirudin mengumumkan sebanyak RM2.232 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan Selangor bagi tahun 2022 dengan defisit sebanyak RM293 juta.- UTUSAN










