PETALING JAYA: Kerja keras Romel Morales yang menurunkan berat badan lapan kilogram di awal musim nyata membuahkan hasil buat penyerang Kuala Lumpur City (KL City) itu semakin berbisa di pentas Piala Malaysia selepas meledak sembilan gol.
Perkara itu dikongsikan ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, sambil menyatakan apa yang terjadi pada Morales adalah di atas usahanya sendiri selepas dia turut mengubah posisi pemain berkenaan dari seorang pemain tengah ke penyerang.
Kata Hodak, beliau tidak menjangkakan perubahan ketara yang ditunjukkan Morales di pentas Piala Malaysia berbanding Liga Super apabila penyerang dari Colombia itu sekadar menjaringkan lima gol.
“Morales memang asalnya seorang pemain tengah tetapi cara permainannya, dia tak suka bertahan dan saya meletakkannya selaku penyerang ekoran kami tidak ada sesiapa untuk bermain di posisi berkenaan.
“Sejak awal dia diturunkan sebagai penyerang, dia sendiri berusaha menurunkan berat badan sejak Januari lalu, situasi itu menjadikan dia lebih berbahaya.
“Dalam bola sepak, ada kalanya sesetengah perkara tidak boleh dinyatakan apabila melihat dia berterusan menjaringkan gol tetapi apa yang pasti, segala kerja kerasnya membuahkan hasil.
“Tidak dinafikan faktor tuah menyebelahinya dan tiap kali dia mendapat ruang biarpun dari jauh, saya selalu arahkan dia untuk lepaskan rembatan kerana apa sahaja dia lakukan pasti akan membuahkan jaringan, itu tandanya seseorang penyerang itu sedang berada di kemuncak prestasi,” katanya.

Penyerang berusia 24 tahun itu meledak satu jaringan penting ketika KL City membenam juara 33 tahun, Selangor 2-0 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.
Apa diperkatakan Bojan itu diperakui Morales yang berkata, dia turut berdisiplin mengawal cara pemakanannya sekali gus berasa lebih cergas sepanjang 90 minit beraksi bersama pasukan.
“Masa awal musim dulu, psikologi saya sangat berbeza dengan sekarang dan apabila saya berjaya menurunkan berat seperti yang diharapkan jurulatih, saya rasa sangat gembira.
“Saya juga semakin ambil berat terhadap soal pemakanan dan situasi itu nyata membantu saya beraksi dengan baik pada tiap perlawanan,” katanya.










