Belum ada pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk - Utusan Malaysia

Belum ada pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk

HAMZAH Zainudin melancarkan secara rasmi Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat di aras tiga, balai ketibaan KLIA. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Dalam Negeri menegaskan  setakat ini  belum ada pekerja asing dalam sektor perladangan sudah dibawa masuk ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemungkinan ramai salah faham mengenai laporan berita yang menyatakan kononnya 32,000 pekerja asing terbabit telah masuk untuk bekerja di Malaysia.

“Kita setakat ini belum lagi mengambil mana-mana pekerja asing, mungkin ada keliru walhal ketika ini kerajaan giat membuat pemutihan pekerja haram sehingga akhir tahun,” kata belia selepas melancarkan secara rasmi Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat di aras tiga, balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia akan membenarkan sejumlah 32,000 pekerja luar negara bagi menampung keperluan kritikal sektor perladangan tempatan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, setakat kelmarin, seramai 280,088 pekerja asing sudah mendaftar dalam skim Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) sejak dilancarkan tahun lalu.

“Inilah jumlah sebenar warga asing bekerja di Malaysia dengan ada majikan sah, manakala yang lain adalah tanpa izin dan mereka kena pulang sebelum akhir bulan depan,” katanya.

 Beliau memaklumkan daripada yang berdaftar untuk RTK, sejumlah 120,000 individu itu terlibat dalam sektor perladangan selepas menyertai pemutihan secara besar-besaran.

Malah, kata beliau, sehingga kelmarin, seramai 24,155 pekerja asing yang ditangkap telah diusir balik ke negara asal masing-masing termasuk yang menyertai program rekalibrasi pulang.

Bagaimanapun, beliau  berpendapat, jumlah pekerja perladangan yang sedia ada ketika ini sebenarnya masih tidak cukup untuk menampung kekurangan.

“Bilangan sekarang sekiranya diteliti lebih rapi, mungkin hanya dapat mengisi 20 hingga 30 peratus sahaja daripada keseluruhan keperluan tenaga kerja di kawasan ladang,” jelasnya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.