TUMPAT: Polis mengenal pasti lapan lokasi di negeri ini yang berisiko berlaku tanah runtuh sejak Monsun Timur Laut membawa cuaca buruk seperti angin kencang dan hujan berpanjangan kebelakangan ini.
Lokasi terbabit ialah Jalan Kuala Betis-Lojing dan sekitar Lojing di Gua Musang, Lata Rek, Gunung Stong dan Kampung Chuchuh Puteri di Kuala Krai serta Batu 18 Jalan Timur Barat Jeli – Gerik di Jeli.
Turut dikenal pasti berisiko tinggi untuk runtuh tebing Sungai Kampung Kuau di Bachok dan tebing sungai Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat ketika mendedahkan perkara itu berkata, hasil tinjauan polis mendapati ada kawasan terutama di sekitar Lojing, jalannya sudah mula retak akibat cuaca buruk berterusan.
“Sehubungan itu polis menerusi pasukan pemantau kini sudah mula bertugas selama 24 jam di bilik gerakan untuk memantau lokasi yang bahaya serta keadaan hujan bagi memastikan kejadian tidak diingini.
“Dalam masa sama saya menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan elak guna jalan di lokasi berisiko yang boleh mengundang bahaya ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat dan merasmikan Surau Ar-Rasyidin yang dibina dengan kos hampir RM500,000 terletak dalam Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. – UTUSAN ONLINE










