Warga KL serbu hotel di PD - Utusan Malaysia

Warga KL serbu hotel di PD

HOTEL-hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan menerima peningkatan tempahan sebaik sahaja kebenaran aktiviti rentas negeri diumumkan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hotel-hotel di Port Dickson, dekat sini kembali menerima tempahan bilik daripada pelanggan terutama dari Lembah Klang yang mahu bercuti pada hujung minggu ini.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, kebanyakan hotel bersedia menerima kehadiran lebih ramai tetamu malah berlaku peningkatan tempahan sejak kelmarin..

“Memang sebelum ini tetamu hotel di Port Dickson, 70 peratus daripadanya adalah dari Lembah Klang. Sebagai destinasi pelancongan pantai terhampir dengan Lembah Klang, kami jangka Port Dickson menjadi antara destinasi pertama mereka tuju.

“Sejak semalam (kelmarin) kami mula menerima tempahan, ia semakin bertambah. Sebelum ini ramai yang membeli baucar penginapan dari hotel-hotel namun mereka belum menggunakannya kerana kekangan sekatan rentas negeri.

“Kami jangka juga mereka mula menebus baucar tersebut untuk menginap bermula hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sementara Haziz berkata, hotel-hotel kini bersedia kembali beroperasi dalam kapasiti penuh bagi menampung tambahan kehadiran pengunjung ke Port Dickson.

Sebelum ini, katanya, ketika sektor pelancongan dibuka antara daerah, kebanyakan hotel membuat tetapan untuk beroperasi dalam kapasiti 50 hingga 70 peratus daripada bilangan katil mereka bagi mengelakkan kesesakan selain isu kekurangan pekerja.

“Kini dengan kehadiran semula jumlah pekerja yang mencukupi, kebanyakan hotel bersedia beroperasi secara penuh namun mereka tentunya akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Kami sudah banyak menanggung kerugian, waktu ini memang sesuatu yang kami nanti-nantikan,” katanya yang memberitahu selain penginapan, tempahan untuk penganjuran seminar dan mesyuarat juga semakin meningkat diterima. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.