PONTIAN: Terlibat kemalangan jalan raya awal tahun ini mengubah landskap kehidupan seorang pemandu lori kepada pengusaha warung kopi bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mohamad Faez Sogimin, 31 berkata, kerjaya sebagai pemandu lori bahan binaan selama tujuh tahun dan lori membawa bahan kimia selama dua tahun berakhir apabila dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 27 Januari lalu.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, kakinya patah dan terpaksa dipasang peralatan khas sekali gus tidak mengizinkannya membawa lori semula kerana memerlukan kekuatan kaki melakukan tugasan tersebut.
Menurutnya, dia mengambil masa menukar haluan hidupnya sebelum menceburi bidang pembuatan kopi menggunakan kopi varieti Arabica dan Liberica.
“Baru lima bulan saya mengusahakan perniagaan ini bermodalkan pengeluaran i-Lestari dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membeli peralatan seperti mesin dan pengisar kopi berharga RM2,300.
“Dalam melengkapi peralatan, saya mengorbankan kereta kesayangan untuk membeli mesin yang berharga RM9,800 bagi memastikan daya saing perniagaan terus menarik minat pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Dalam Ayer Baloi, di sini semalam.
Tambah Mohamad Faez, buat sementara waktu dia kini menumpang di bangunan kedai bersama rakannya yang mengusahakan pembuatan topi memandangkan belum mendapat lokasi perniagaan yang sesuai.
“Setakat ini sambutan diberikan peminat kopi memuaskan dengan jualan harian boleh mencapai 100 cawan sehari menerusi pelbagai cita rasa ditawarkan.
“Dalam sehari kami menggunakan kira-kira 15 hingga 20 kilogram kopi yang dikisar sendiri dengan harga bagi sekilogram dianggarkan kira-kira RM40,” ujarnya yang juga pemegang diploma dalam bidang automotif.
Menurutnya, perniagaan itu dibantu adiknya, Mohamad Fazrul, 27, yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam Diploma Kesihatan Persekitaran dari sebuah kolej di Kuala Lumpur pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE