PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan tidak berlaku sebarang masalah atau keraguan dalam soal pendaftaran pemilih secara automatik berumur 18 tahun.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR dan jabatan-jabatan kerajaan antaranya Jabatan Insolvensi, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penjara perlu mempunyai kesalinghubungan dengan Jabatan Pendaftaran dalam aspek pemerolehan data individu berdaftar.
Hal itu kerana, katanya, dibimbangi terdapat warganegara ini yang didaftarkan secara automatik oleh SPR namun sebenarnya tidak layak atas sebab tertentu seperti menjalani hukuman penjara, diisytihar bankrap, tidak siuman dan melanggar peraturan-peraturan di bawah Akta Pilihan Raya.
“Ini yang paling membimbangkan kerana pertama kali berlaku dalam sejarah negara akan perubahan dalam pilihan raya yang menuntut kepada penglibatan teknologi maklumat.
“SPR mesti mengeluarkan nama-nama mereka yang tidak layak ini kerana jika tidak, secara automatik akan dinaik taraf dari pangkalan data JPN dan dimasukkan dalam pangkalan data sebagai pemilih baharu sedangkan mereka tidak layak pun.
“Di sinilah perlu ada semakan serentak secara dalam talian untuk membuat tapisan terhadap mereka yang berada di luar kelayakan sebagai pemilih dan calon,” katanya ketika dihubungi.
SPR mengumumkan sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun dan ke atas sudah didaftarkan dan mereka boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik bermula kelmarin sehingga sehingga 31 Oktober ini.
Mengenai had usia calon bertanding yang masih perlu dibuat pindaan kepada undang-undang tubuh negeri di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kata Wan Ahmad, ia tidak sepatutnya berlaku apabila pindaan sudah dilakukan di peringkat Persekutuan.
“Saya beranggapan apa sahaja pindaan yang berlaku di Persekutuan, maka seharusnya undang-undang tubuh negeri ikut melakukan perkara itu. Kalau tidak, berlaku masalah di mana wakil rakyat Parlimen boleh menjadi umur di usia 18 tahun tetapi di DUN pula tersekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE