UMNO gerak solo boleh menang tanpa PN - Utusan Malaysia

UMNO gerak solo boleh menang tanpa PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetap ada meskipun bergerak solo tanpa kerjasama Perikatan Nasional (PN).

Namun, situasi sebaliknya bagi PN yang dilihat sukar tanpa UMNO dan berkemungkinan tewas teruk dalam PRN tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu hanya menang dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas kalah semua 22 kerusi yang ditandinginya, sekali gus memberi gambaran kesukaran PN menembusi Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

UMNO yang bertan­ding 18 kerusi DUN dalam pilihan raya tersebut masih menunjukkan prestasi baik apabila menang 13 kerusi meskipun gagal membentuk kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, peluang UMNO lebih cerah meskipun tanpa kerjasama kerana Melaka adalah kubu kuat parti itu di sam­ping mempunyai jentera serta sokongan akar umbi kuat.

Katanya, berbeza dengan PN yang tidak mempunyai kekuatan jentera dan disebabkan itu, mereka memerlukan sokongan serta kerjasama daripada UMNO jika mahu menang dalam pilihan raya tersebut.

“Peluang PN mungkin nampak sukar tanpa UMNO kerana jentera pilihan raya atau kekuatan akar umbi mereka (PN) tidak seperti mana UMNO. Di­sebabkan itu, mereka memerlukan sokongan dan kerjasama UMNO,” katanya.

Sementara itu, Rusdi berkata, peluang PH pula lebih cerah sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru termasuk dilihat tidak ada masalah di kawasan bandar dan campuran.

Katanya, PH hanya perlu berusaha lebih keras bagi menawan hati pengundi di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar.
“Secara keseluruhannya saya lihat peluang untuk UMNO dan PH menang dalam PRN Melaka lebih tinggi berbanding PN,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×