PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM5,520,983.87.
Majlis Serahan Zakat Korporat TNB berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
Turut hadir, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Berdasarkan rekod, pelaksanaan zakat perniagaan TNB bermula pada 1997 dan ini merupakan kesinambungan pembayaran zakat kali ke-23 dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM68,794,899.77.
Syed Ali Alhabshee berkata, banyak kelebihan menunaikan zakat di PPZ-MAIWP, antaranya pembayar zakat layak menerima Skim Wakalah untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan asnaf.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada TNB kerana menjadi contoh syarikat pembayar zakat di PPZ-MAIWP yang sentiasa mengambil berat tentang zakat dan kepentingan menunaikannya,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.
Setakat Januari hingga September lalu, PPZ-MAIWP mencatatkan peningkatan kutipan zakat secara keseluruhan sebanyak lapan peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM535,058,65.46 dengan jumlah pembayar 345,288 orang.
Dalam tempoh yang sama, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM83,461,838.27 dengan jumlah pembayar 3,773. Jumlah pembayar meningkat 32 peratus berbanding tahun lalu.
“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun kita diuji dengan Covid-19, masih ramai masyarakat dan syarikat-syarikat yang prihatin dengan kesusahan yang dilalui asnaf dengan tidak melupakan tanggungjawab menunaikan zakat.
“Kami mengharapkan lebih ramai lagi penglibatan syarikat-syarikat dan individu di luar sana untuk tampil menunaikan zakat di PPZ-MAIWP bagi membela nasib asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










