Tidak sangka hilang ibu, ayah dibunuh adik - Utusan Malaysia

Tidak sangka hilang ibu, ayah dibunuh adik

POLIS mengangkat mayat warga emas berdekatan pagar yang merupakan mangsa bunuh di Kampung Kemahang Hulu, Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kakak kepada suspek yang dituduh membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian di Kampung Kemahang Hulu, Benta dekat sini mendakwa, adiknya adalah seorang anak yang baik dan ceria.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aishah berusia 33 tahun berkata, hampir dua tahun mereka tidak bertemu disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku malam semalam.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian ini oleh saudara-mara awal pagi semalam dan bergegas mengambil suami yang bekerja di Kelantan untuk pulang ke kampung.

‘Melalui perbualan telefon dengan ibu sebelum ini, dia memaklumkan dalam keadaan biasa dan gembira serta tiada perangai yang pelik,” katanya semalam.

Katanya, setahunya adik yang tinggal bersama ibu bapanya tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Ketika saya pulang ke kampung sewaktu sebelum penguatkuasaan PKP, dia suka bergurau dan tidak menunjukkan sebarang perangai yang pelik,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, suspek lelaki yang juga seorang penganggur berusia 31 dipercayai membunuh ibu bapanya di rumah yang tidak bernombor di kampung tersebut.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada perbincangan tentang hal keagamaan dan ketuhanan.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, anggota dari Balai Polis Benta, dekat sini menerima maklumat pada pukul 11.55 malam tentang kejadian seorang lelaki Melayu tidak sedarkan diri akibat dikelar pada bahagian leher di rumah tidak bernombor Kampung Kemahang Hulu, Benta, dekat ini sehingga polis bertindak membuat siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan polis, pada mulanya suspek duduk bersama bapanya ‘berborak’ tentang hal ilmu agama dan ketuhanan.

“Kemudian suspek nampak mata bapanya bertukar menjadi ‘hitam’ dan seakan-akan hendak menyerangnya. Supek kemudian masuk ke dalam biliknya dan mengambil parang lalu menetak bapanya sehingga warga emas itu menjerit berkali-kali dengan sebutan “dah … dah … dah …” dan berlaku pergelutan kedua beranak berkenaan.

“Ibu suspek yang nampak pergelutan itu datang untuk membantu suaminya, tetapi turut diserang dengan tetakan serta tikaman di bahagian leher dan kepala,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah parang dan bahan bukti lain mengenai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya