Tengku Zafrul kesal nama dikaitkan dengan sebuah bank luar pesisir - Utusan Malaysia

Tengku Zafrul kesal nama dikaitkan dengan sebuah bank luar pesisir

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kesal dengan laporan sebuah portal berita yang mengaitkan dirinya mempunyai hubungan dengan sebuah bank luar pesisir.

Menurutnya, laporan berita itu telah mengelirukan ramai pembaca dan memberi gambaran negatif terhadap dirinya dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Kewangan.

“Saya amat kesal yang laporan ini yang memilih untuk menyebut nama saya dan mengaitkan saya secara langsung kepada sebuah syarikat offshore iaitu Capital Investment Bank (Labuan) Limited,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau memaklumkan pernah mempunyai kerjaya dalam sektor perbankan sebelum dilantik sebagai Menteri kewangan.

Tengku Zafrul berkata, antara jawatan yang pernah disandang ialah Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Januari 2009 hingga Jun 2010.

“Dalam tempoh ini saya turut berperanan sebagai Pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk juga Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

“Pada  Jun 2010, saya dilantik Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan pada masa itu telahpun melepaskan semua jawatan saya dalam Kumpulan Kenanga,” katanya.

Katanya, beliau juga mengesahkan kepada portal berkenaan mengenai perletakan jawatan dalam Capital Investment Bank (Labuan) Limited kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa kerana portal berkenaan masih memilih untuk menyebut namanya dalam artikel tersebut dan sewenang-wenangnya melaporkan bahawa beliau masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

“Etika kewartawanan perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dalam memastikan pelaporan yang sahih, tepat dan tidak sewenang-wenangnya menimbulkan kekeliruan dan tanggapan negatif terhadap mana-mana individu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN