MELAKA: Sehari selepas gamatnya suasana politik Melaka ekoran spekulasi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan didakwa bakal melompat, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali nampak cukup tenang untuk meneruskan tugasnya.
Ditambah dengan khabar angin terbaharu mengatakan dua lagi ADUN kerajaan turut serta dalam gerakan itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada enam, situasi berkenaan langsung tidak ‘menggentarkan’ Sulaiman untuk berdepan pengamal media.
Semasa program lawatan ke Kampung Ayer Merbau, Jasin dekat sini semalam, ADUN Lendu itu secara terbuka menguar-uarkan kehadirannya kepada semua agensi media, tidak seperti kebiasaan terhad kepada ‘media rasmi’.
Keadaan tersebut membawa kepada dua persoalan, sama ada Ketua Menteri Melaka ke-12 itu rela melepaskan jawatannya atau kemelut dalaman kalangan 17 ADUN kerajaan sudah diselesaikan.
Ketika ditemui pemberita, Sulaiman menegaskan, tiada keperluan untuk berjumpa dengan empat ADUN yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri diterajui UMNO.
Beliau berkata, pihak yang berminat untuk menjadi Ketua Menteri boleh tampil dan berjumpa sendiri dengan kepemimpinan tertinggi.
“Kenapa saya perlu jumpa? Kalau hendak jadi Ketua Menteri sila datang jumpa kepimpinan tertinggi.
“Jika pihak sebelah sana (Pakatan Harapan) berasakan sudah mendapat akuan bersumpah (SD) yang mencukupi, teruskan. Setakat ini kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa,” katanya.
Empat ADUN yang disebut-sebut mungkin terlibat dengan gerakan terbabit ialah ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Dua lagi ADUN yang dikatakan turut serta masih lagi belum dikenal pasti, namun khabar angin mendakwa, mereka adalah wakil rakyat UMNO.
Ia susulan penafian terbuka telah dibuat ADUN Paya Rumput (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang menegaskan kekal menyokong Sulaiman sehinga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setakat berita ini ditulis, hanya Norhizam tampil mengulas dan menafikan penglibatannya kepada Mingguan Malaysia. – UTUSAN ONLINE