GEORGETOWN: Sebahagian tembok penahan di Lengkok Halia di Tanjung Bungah di sini runtuh sehingga menyebabkan sebuah kereta yang sedang diparkir di situ terjunam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu.
Menerusi video kejadian berkenaan yang turut tular dalam media sosial hari ini, sebuah kereta jenis Proton Saga kelihatan terjunam ke dalam runtuhan tanah.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian berkenaan.
“Semalam, pihak MBPP mendapati wujud rekahan pada tembok penahan ini dan kita sudah arahkan pemilik kereta tidak meletakkan kenderaan di situ.
“Ketika kejadian, terdapat enam buah kereta diparkir di situ, lima kereta telah dialihkan oleh pemilik kenderaan manakala sebuah lagi kereta tidak sempat dialihkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tung Seang berkata, kawasan itu merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihaknya telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.
“Ketika ini, kita menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar insiden tanah runtuh berkenaan.
“Pihak JKR bersama JPS sedang menyediakan laporan berhubung perkara tersebut, jalan ini akan ditutup sehingga kerja-kerja pembaikian dijalankan,” katanya. -UTUSAN ONLINE









