TAMPIN: Penduduk di Kampung Pasir Besar, Gemas, di sini bimbang ekoran tebing sungai di kampung berkenaan sering runtuh yang turut menyebabkan batu sempadan berusia hampir 100 tahun lesap.
Mereka mendakwa tebing sungai tersebut runtuh berikutan kerja-kerja pembersihan tanah di kawasan itu sejak sebulan lalu.
Seorang penduduk, Abidin A. Azis, 64, berkata, pada hujung minggu lepas, dia terkejut mendapati batu sempadan berusia hampir 100 tahun di tanahnya lesap selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan di tebing sungai berkenaan.
Katanya, keadaan itu tentunya menyebabkan dia terpaksa menanggung kos pengiraan semula batu sempadan yang mencecah ratusan ringgit selain berhadapan risiko rumahnya yang terletak lebih 20 meter dari sungai tersebut terjejas.
“Saya bimbang sebab sebelum ini, tebing sungai tidak pernah runtuh meskipun pernah berlaku banjir 10 tahun lalu. Kali ini bila hujan lebat sahaja, tebing sungai pasti runtuh,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Zaidin Zainal Abidin, 50, berkata, kerja-kerja di tebing sungai berkenaan turut menyebabkan kemudahan sukan rekreasi flying fox yang salah satu lagi tiangnya terdapat di seberang sungai di Taman Rekreasi Menuang Bertembuk, di perkampungan berkenaan tumbang.
Menurutnya, rata-rata penduduk tidak mengetahui apa sebenarnya tujuan kerja-kerja pemberishan tanah dilakukan namun berharap agar aktiviti tersebut tidak mendatangkan kesan buruk kepada tebing Sungai Muar berkenaan.
“Ini sudah masuk Oktober, tidak lama lagi musim tengkujuh. Kami bimbang bila lihat tebing sungai yang dulunya terdapat pokok kini sudah dibersihkan sedikit demi sedikit,” katanya. – UTUSAN ONLINE