MELAKA: Taman Muzzafar Shah di sini bagaikan sudah sinonim dengan kehadiran ular sawa yang sering membuatkan penduduk tergamam, kali pertama ditemukan pada Julai lalu.
Terbaharu, seorang penduduk menemukan reptilia berkenaan sepanjang enam meter dengan berat lebih 25 kilogram (kg) berada dalam enjin kereta anaknya.
Menceritakan detik cemas itu, Amir Syukri Zainal, 30, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi Selasa lalu, dia keluar menaiki kereta yang diletakkan di garaj depan rumah bapanya di Jalan Seri Raya 4.
Katanya, selepas membeli sarapan pagi, dia meletakkan keretanya di hadapan rumah kerana hendak membersihkan enjin dan ruang dalam kereta.
“Sewaktu saya hendak membuka bonet hadapan kereta, saya terlihat seekor kucing mengiau berkali-kali di bawah kereta itu.
“Saya yang hairan dan syak sesuatu, lalu menjenguk ke bawah kereta dan terkejut apabila melihat ekor ular terjuntai keluar dari situ.
“Saya terkejut dan terus menghubungi ayah (Zainal Abdullah) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Tengah berhubung penemuan reptilia itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Amir Syukri berkata, ular sawa itu kemudiannya keluar dari ruang enjin kereta lantas bergerak ke kawasan longkang belakang rumah untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, seorang penduduk di lorong berkenaan iaitu bertindak pantas apabila berjaya menangkapnya sebelum diserahkan kepada anggota APM.
Ujarnya lagi, tidak sampai beberapa jam selepas kejadian, dia ternampak seekor lagi ular sawa berada berhampiran garaj kira-kira pukul 11 malam.
“Apabila ular itu nampak kehadiran saya, reptilia itu terus melarikan diri di kawasan hutan berhampiran dan gagal ditangkap,” katanya. -UTUSAN ONLINE










