PUTRAJAYA: Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu akan diperkenalkan bagi menyesuaikan dengan fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP baharu itu lebih jelas dan merupakan cara terbaik dalam senario endemik.
“Semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan virus Covid-19 tidak boleh dibenarkan terus mengganggu dan menguasai seluruh kehidupan serta masyarakat.
“Kerajaan akan melaksanakan dasar yang diperlukan dalam senario ini dengan menggariskan SOP baharu yang lebih jelas.
“Sebagai menghargai pematuhan itu, Keluarga Malaysia akan menikmati penyambungan semula kegiatan sosial dan ekonomi yang ditentukan melalui strategi kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Khazanah Megratrends Forum (KMF) 2021 secara maya, semalam.
Dalam konteks Malaysia, Ismail Sabri berkata, melalui pendekatan Keluarga Malaysia, kesemua tindakan melalui kebersamaan seluruh rakyat sebagai sebuah keluarga dengan membantu sepenuhnya mereka yang memerlukannya.
“Ia tidak boleh menjadi persaingan politik tetapi harus menjadi satu tindakan kesatuan dan kerjasama nasional. Apa pun perbezaan, kita adalah satu keluarga. Setiap krisis harus mendekatkan keluarga dan ini adalah sebuah kerajaan inklusif yang mana setiap pendapat dipertimbangkan sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) baharu berkata, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini akan menangani segera semua isu fiskal.
Beliau berkata, belanjawan tahunan yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mencipta sejarah apabila buat pertama kali menampilkan Kenyataan Prabelanjawan yang memberi penekanan kepada cadangan dalam bajet berkenaan.
“Kerajaan akan terus berpegang pada prinsip ‘pastikan semua tidak ketinggalan’ untuk Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya dan dapat memanfaatkan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Majlis Pemulihan Nasional (MPN) memainkan peranan utama dalam memulihkan kesihatan dan kesejahteraan ekonomi negara melalui pendekatan sosial serta inklusif untuk kebaikan Malaysia yang lebih besar serta menyusun strategi membawa negara keluar dari wabak ke dalam sebuah perancangan selamat. – UTUSAN










