JERANTUT: Gara-gara takut jarum dan beranggapan mungkin meninggal dunia selepas divaksin menyebabkan sekumpulan 33 penduduk Orang asli etnik Bateq Kampung Cangkung, di sini terpaksa dipujuk empat kali.
Kumpulan tersebut dipujuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bird Group Taman Negara (BGTN), sebelum mereka akhirnya bersetuju menerima suntikan vaksin yang dijadualkan 4 Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sukarelawan APM, Roslan Abu Kassim berkata, dia bersama rakan sukarelawan BGTN sebelum ini beberapa kali ke Kampung Cangkung, Sungai Keniam yang terletak hampir empat jam perjalanan bot penambang dan berjalan kaki untuk mencari serta memujuk penduduk di situ supaya menerima vaksin Covid-19.
“Alhamdulillah, kami bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akhirnya dapat memujuk dan mendaftar penduduk Orang Asli di sini untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.
“Saya bersama sukarelawan BGTN dan APM membawa bersama barang keperluan dapur sumbangan Dangau Rezeki Komuniti Kuala Tahan untuk membantu mereka sambil memujuk supaya mengambil suntikan vaksin. Akhirnya, 33 penduduk bersetuju mendaftar untuk suntikan vaksin,” katanya semalam.
Roslan yang juga Pengerusi BGTN bertindak sebagai pengantara membantu Jabatan Kesihatan Daerah Jerantut melaksanakan program jangkauan vaksinasi di penempatan Orang Asli di Taman Negara.
Katanya, masih ada sebilangan kecil penduduk Kampung Cangkung yang ‘lari’ ke dalam hutan Taman Negara akibat takut pandemik Covid-19 belum keluar atau pulang ke penempatan di situ.
Katanya, penduduk Orang Asli di situ masih mewarisi kepercayaan nenek moyang mereka berasaskan kepercayaan alam sekitar termasuk aktiviti ritual dan kelangsungan hidup di hutan antara punca mereka lari ke hutan banat ketika pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
“Saya yakin saki-baki yang masih bersembunyi di hutan keluar tidak lama lagi dan kita tidak akan serik memujuk serta membantu barang makanan supaya mereka mengubah fikiran untuk divaksinasi selain meringankan beban perbelanjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya.
Menurutnya, Tok Batin Orang Asli Kampung Cangkung, Jusoh Pisang memberi jaminan untuk memanggil pulang saki baki penduduk berkenaan yang masih ‘bersembunyi’ di hutan supaya kembali mengambil suntikan vaksin Covid-19. – UTUSAN ONLINE