KUALA LUMPUR: Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam walaupun tanpa kemudahan asas terutama elektrik dan bekalan air bersih namun tanah di kawasan tersebut menjadi perhatian orang bukan Melayu.
Salah seorang penduduknya, Mamat Deraman berkata, ini kerana sudah sebanyak 50 lot di situ telah ‘jatuh’ ke tangan orang bukan Melayu yang menjadikan kawasan itu sebagai tanaman durian Musang King.
Menurut beliau, penjualan tanah oleh pemilik kerana penduduk sudah berputus asa untuk menunggu kemudahan asas daripada kerajaan yang bagaikan tiada ‘sinar’ lagi.
“Saya sudah beberapa kali terserempak dengan orang-orang bukan Melayu datang ke kawasan kita, cuba memujuk orang Melayu supaya menjual tanah kepada mereka. Ada yang sudah terpedaya, akhirnya mereka menjual tanah itu sebanyak 21 ekar dengan harga yang saya difahamkan RM1. 2 juta.
“Ada juga yang membeli tanah tersebut daripada lelongan bank, sebab pemilik lot meletakkan tanah itu sebagai cagaran, projek tidak berjaya, akhirnya tanah itu dilelong. Kemudian dibeli oleh orang bukan Melayu,” katanya semasa ditemui.
Cerita Mamat, daripada jumlah keseluruhan 225 lot meliputi 850 ekar Kampung Melayu Bukit Tarek, kini hanya berbaki 175 lot yang tinggal kepada pemilik lot yang asal.
“Mereka sudah membuat kajian tanah mana yang mereka ingin beli. Kalau sekarang sudah 50 lot terjual kepada bukan Melayu, habislah kita. Orang kita (Melayu) sudah terpedaya sebab mereka kata, apa yang nak diharapkan dengan tanah gelap gelita ini? Nak duduk sini, elektrik dan air tidak ada. Anak-anak mahu bersekolah pun sekolah tiada. Nak buat tanaman? Jalan tidak elok, nak bawa keluar hasil pun susah.
“Jual sahajalah, tapi yang bukan Melayu nampak betapa tingginya nilai tanah ini. Mana tidaknya, kedudukan tanah ini betul-betul bersebelahan dengan Lebuh Raya Utara Selatan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hampir 30 tahun penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya walaupun terletak dalam lingkungan 58 kilometer dari ibu negara.
Seramai kira-kira 300 penduduk di situ terus melalui kehidupan mereka menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk kegunaan harian.
Kebanyakan pemilik lot melibatkan bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Musa Jalil turut berharap agar pihak kementerian Luar Bandar dan Wilayah `menjenguk’ kawasan tersebut sebelum Kampung Melayu Bukit Tarek diambil pihak lain.
“Kalau lambat diselamatkan, habislah kita. Saya merayu pihak kementerian buatlah sesuatu untuk kami. Sudah 30 tahun tiada elektrik, air, jalan raya.
“Sekarang pun banyak tanah yang sudah dibeli orang bukan Melayu, mereka letakkan palang yang tidak membenarkan orang Melayu melalui kawasan tersebut. Sedangkan ia merupakan laluan utama untuk ke kawasan lain. Tolong bantu kami selesaikan masalah ini,” ujarnya.
Sementara itu di Putrajaya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA menerusi hantaran di Facebook semalam memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah itu.
Beliau berkata, isu itu juga akan dibawa ke pengetahuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). – UTUSAN










