PETALING JAYA: Sebanyak 71 penunggang basikal maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, dalam tempoh itu juga 150 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal yang mana 24 cedera parah dan 55 cedera ringan.
Katanya, sejak 2019 hingga September lalu, sebanyak 507 kes kemalangan penunggang basikal dilaporkan dan daripada jumlah tersebut, 241 kes melibatkan kematian, cedera parah (80 kes) dan cedera ringan (186 kes).
“Aktiviti berbasikal menyaksikan peningkatan kes kemalangan yang ketara sejak kebelakangan ini dengan melihat kepada jumlah direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama itu.
“Polis tidak menghalang aktiviti berbasikal namun harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.
“Keghairahan sesetengah penunggang basikal yang berkayuh di lebuh raya tidak kira secara individu atau berkumpulan dikhuatiri meningkatkan jumlah kemalangan membabitkan mereka,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mat Kasim menegaskan, JSPT sehingga kini hanya mengambil tindakan menasihati penunggang basikal yang berkayuh secara berkelompok di jalan raya.
Namun, beliau mengingatkan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 akan diambil terhadap mana-mana penunggang basikal yang didapati melanggar undang-undang.
Ujar beliau, antara tindakan yang dapat diambil adalah kesalahan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
“Bagi mereka yang didapati gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.
“Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan kepada penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal.
“Kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan,” jelasnya.
Beliau juga menasihati penunggang supaya memilih lokasi dan masa sesuai iaitu di luar waktu puncak dan mengelak tempat sesak dengan kenderaan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengundang risiko kemalangan. – UTUSAN










