
MUKADIMAH
Banyak sektor penerbangan yang terkesan teruk berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Penutupan sempadan serta pengurangan pelanggan secara mendadak telah menyebabkan kebanyakan syarikat penerbangan bergelut untuk meneruskan operasi sehingga menyebabkan kerugian.
Ketua Pegawai Operasi Scoot Airline, CAMPBELL WILSON berkongsi maklumat berkaitan strategi syarikat penerbangan itu dalam norma baharu bersama wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR.

CAMPBELL WILSON
UTUSAN: Berapakah destinasi penerbangan Scoot dan di negara mana?
CAMPBELL WILSON: Scoot Airline telah ditubuhkan pada 2011 sebagai pengangkutan tambang rendah (LLC) dalam kumpulan Singapore Airlines (SIA).
Pada 2017, Scoot telah bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendah yang ada di Singapura, Tigerair Singapore.
Entiti gabungan itu mempunyai kira-kira 50 kapal terbang dan pra-Covid ia beroperasi ke 68 destinasi merangkumi Jepun, Vietnam, Australia, China, Jerman, Yunani, Hong Kong, India, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.
Destinasi penerbangan kami di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuching.
Bagaimanakan pandemik Covid-19 memberi impak kepada Scoot?
Seperti syarikat penerbangan yang lain, Scoot juga terkesan teruk akibat pandemik Covid-19. Syarikat hampir tidak beroperasi ketika sekatan perjalanan mula dilaksanakan.
Setelah sempadan dibuka semula, kami memutuskan untuk menjalinkan hubungan strategik untuk menjaga aliran penumpang dan bekalan penting.
Kami menjangkakan lebih banyak masa untuk kembali pulih kerana kami hanya mempunyai sekitar 23 peratus daripada kapasiti pra-Covid.
Kami percaya industri akan kembali pulih menjelang 2023. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kerajaan dan bila sempadan akan dibuka sepenuhnya.
Setakat ini, kami melihat beberapa sempadan telah dibuka di Eropah, dan kerana pembukaan itu, kami meramalkan pemulihan permintaan yang tinggi dari Malaysia.
Walaupun negara Asia belum membuka sempadan mereka, kami yakin apabila mereka membuka sempadan, pemulihan yang cepat dan kuat dapat dilihat khususnya permintaan untuk bercuti dan berseronok.
Permintaan pasaran adalah relevan dengan Scoot kerana kami adalah syarikat penerbangan kos rendah. Kami tawarkan harga terbaik dan membuat penerbangan ke destinasi percutian yang menarik terutamanya kerana kebanyakan pelanggan kami adalah pelancong.
Pernahkah Scoot menghadapi situasi seperti ini atau adakah ini kali pertama?
Penularan wabak yang seperti ini sudah jelas belum pernah terjadi sebelum ini. Saya rasa semua syarikat penerbangan tidak pernah mempunyai pengalaman seperti ini. Sudah tentu sebelum ini dunia pernah berhadapan dengan penularan wabak yang lain seperti pernafasan akut teruk (SARS) serta masalah krisis kewangan global tetapi pandemik Covid-19 itu adalah yang paling teruk jika dibandingkan.
Bagaimanakah strategi Scoot berbeza dengan syarikat penerbangan lain setelah setahun wabak tersebut menular?
Kami sangat bernasib baik kerana merupakan sebahagian daripada kumpulan SIA, jadi kami mempunyai sokongan yang kuat daripada pemegang saham syarikat tersebut.
Bagaimanapun, kami tetap perlu melakukan inisiatif penjimatan kos. Isu kami lebih kepada merancang untuk masa hadapan dan bukannya setakat merancang untuk bertahan dari hari ke hari.
Kebanyakan syarikat penerbangan kini telah mengubah semula syarikat penerbangan mereka supaya lebih relevan dengan keadaan pasca pandemik dan fasa pemulihan.
Kebimbangan pelanggan dan pengawal selia adalah mengenai kesihatan dan keselamatan. Jadi, kami telah melabur dengan banyak ke dalam protokol yang ada bagi menjaga keselamatan pelanggan dan kakitangan.
Antaranya, kekerapan pembersihan, peralatan pelindung diri serta sistem yang membolehkan pelanggan memesan makanan dan minuman dari telefon pintar mereka sendiri.
Selain itu, kami turut mempunyai sistem daftar masuk di lapangan terbang tanpa perlu berinteraksi atau menyentuh sesuatu.
Kami yakin ia penting bagi pelanggan sekarang mahupun di masa hadapan. Suka atau tidak, itulah protokol perjalanan dan kesihatan pada masa hadapan.
Scoot juga telah diakui sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama di dunia yang diakui dengan status Berlian untuk Keselamatan Kesihatan oleh Airline Experience Association (APEX), yang dikuasakan oleh firma strategi penerbangan, SimplyFlying.
Apakah jangkaan penerbangan dalam norma baharu dan apakah cabaran dan perubahan yang akan dilalui oleh syarikat pada masa hadapan?
Status ujian Covid-19 dan vaksinasi mungkin akan menjadi langkah baharu yang perlu didokumentasikan oleh pelanggan sebelum melakukan perjalanan sebagai bukti yang mereka telah diuji atau divaksinasi. Malah, ia sudah berlaku sekarang dan mungkin akan berlanjutan untuk jangka panjang.
Kami merancang untuk melakukannya dengan lancar menerusi teknologi. Scoot kini sedang bekerjasama dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan pemain industri yang lain bagi memastikan proses itu menjadi mudah sama ada dengan menggunakan aplikasi atau peranti lain yang membolehkan pelanggan mempunyai maklumat mereka di tangan sebelum dan semasa melakukan perjalanan ke mana-mana negara.
Scoot juga sangat mengutamakan kehendak dan permintaan pelanggan, mereka adalah sebahagian daripada strategi kami. Sebagai contoh, Scoot adalah antara syarikat penerbangan yang pertama di dunia yang menawarkan bayaran balik kepada pelanggan dalam bentuk wang tunai semasa krisis wabak tersebut bermula pada tahun lalu.
Kebanyakan syarikat penerbangan menawarkan kredit yang pelanggan boleh gunakan untuk penerbangan masa hadapan. Kami turut menawarkan kredit kepada pelanggan tetapi kami berpendapat amat penting untuk pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan wang tunai mereka semula jika itu yang diinginkan.
Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) dengan margin keuntungan yang tipis, mengapakah Scoot harus mula mengamalkan perniagaan yang lestari?
Kelestarian adalah penting bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga pemegang saham dan pekerja.
Kelestarian secara umumnya adalah topik yang penting bukan hanya dalam sektor penerbangan tetapi kehidupan seharian.
Dari perspektif LLC, ia adalah tangunggjawab perniagaan yang berhemah untuk terus menjadi lebih mampan.
Oleh itu, dengan pelaburan ke dalam pesawat baharu, kami mengekalkan usia pesawat yang muda iaitu lima tahun yang berprestasi tinggi termasuk kehadiran Airbus jenis A321 baru-baru ini yang menjimatkan bahan api dan membolehkan kami beroperasi dengan lebih cekap ke destinasi sedia ada dan baharu.
Selain itu, kami juga telah menukar sebilangan bungkusan makanan dalam penerbangan kepada pembungkus yang lebih mampan bagi mengurangkan penggunaan plastik.
Kami juga menawarkan pilihan untuk pelanggan mengimbangi pelepasan karbon mereka semasa melakukan perjalanan. Kami turut menyertai program di mana kami menyumbang untuk mengimbangi pelepas karbon kami sendiri.
Daripada perspektif pemegang saham pula, mereka memberi tumpuan kepada kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporat. Para pemegang saham termasuk institusi antarabangsa yang besar turut mengambil kira kriteria tersebut semasa membuat keputusan penyenaraian mereka. – UTUSAN










