PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melancarkan program Wanita Bangkit yang menjurus kepada aspek penjanaan pendapatan, peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi dalam memastikan masa depan untuk golongan tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, proram yang dilancarkan esok itu adalah kerjasama beberapa syarikat korporat yang bersetuju menjadi rakan strategik KPWKM bagi menjayakan misi dan visi Wanita Bangkit.
Menurutnya, pelbagai platform disediakan melalui program Wanita Bangkit bagi memastikan masa depan mereka lebih tersusun dan terancang melalui proses pemerkasaan ekonomi untuk membimbing diri masing-masing.
“Bagi meringankan beban kumpulan wanita memerlukan sokongan, KPWKM menyediakan pelan pemerkasaan diri yang komprehensif supaya mereka dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan atau perniagaan disediakan dengan kerjasama syarikat-syarikat terpilih.
“Program ini juga berfungsi sebagai platform pusat sehenti iaitu wanita terpilih akan dilatih, dibimbing dan diberikan peluang kerjaya. Selain itu, usahawan wanita yang sudah berjaya dijadikan suri teladan atau ‘role model’ kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rina berkata, program Wanita Bangkit pada asalnya adalah cetusan idea beliau yang diperoleh semasa turun ke lapangan menyantuni kumpulan sasar KPWKM dalam memahami keperluan mereka.
“Saya telah memberi taklimat terperinci kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kepentingan program ini yang mampu menjadi pemangkin utama dalam Aspirasi Keluarga Malaysia.
“Justeru, demi mencapai sasaran program, KPWKM telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan syarikat bagi memastikan pemantauan yang efektif untuk menjamin masa depan wanita di negara ini,” ujarnya.
Rina berkata, sebagai permulaan lebih 2,000 wanita disasarkan akan mendapat peluang dalam penjanaan pendapatan dan pekerjaan manakala satu jawatan kuasa khas juga ditubuhkan bagi memantau perlaksanaan program tersebut. – UTUSAN ONLINE