PUCHONG: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan enam calon tempatan yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, senarai calon itu sudah dihantar ke Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pertimbangan.
“Belum ada pengumuman, tapi Srikandi telah hantar enam nama dan kami berharap mereka diberikan peluang untuk menjadi calon dan diyakini mampu berkhidmat kepada rakyat negeri Melaka.
“Semuanya adalah muka baharu sebab di Melaka tidak ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Srikandi. Calon tempatan, dikenali ramai dan mampu menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, di sini hari ini.
Sebelum ini, PN menerusi Muhyiddin berkata, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Keputusan ini dibuat kerana rundingan dengan UMNO-Barisan Nasioanal (BN) gagal mencapai kata sepakat.
Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Rina berkata, perkara itu telah diserahkan kepada Muhyiddin, namun jumlahnya masih belum diputuskan.
“Kita juga ada hantar nama-nama daripada PN dan kita harap akan dapat sokongan daripada semua supaya ramai lagi wakil rakyat wanita diberikan peluang dan saya yakin jika mereka diberikan peluang akan dapat menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN