PETALING JAYA: Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sepakat bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka menggunakan satu logo PH.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui oleh Majlis Presiden PH yang menyatakan parti-parti di bawah gabungan PH akan menggunakan logo dan bendera PH.
“Keputusan kami di Melaka ialah kami bersetuju untuk bertanding bawah satu logo PH. Kami hanya akan bertanding guna logo PH dan bendera PH,” kata beliau semasa sidang media bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu di sini hari ini.
Menurut beliau, PH juga sudah berbincang mengenai pembahagian kerusi dan memutuskan DAP kekal bertanding lapan kerusi, Amanah sembilan kerusi dan PKR bertanding 11 kerusi.
Selain itu, kata Anwar, PH juga sudah memutuskan kerusi Parlimen di Melaka.
PRN Melaka ditetapkan pada 20 November ini dengan pengundian awal 16 November, manakala hari penamaan calon 8 Nov.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Okt selepas empat ADUN termasuk bekas Ketua Menteri, Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya hilang sokongan majoriti.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Kerajaan negeri terdahulu mempunyai 17 kerusi dan 11 lagi milik pembangkang. – UTUSAN











