PRN Melaka: MUDA tercicir daripada senarai PH? - Utusan Malaysia

PRN Melaka: MUDA tercicir daripada senarai PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang ditolak pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)  belum disenaraikan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan. 

Ini kerana, PH pada sidang akhbar bersama parti-parti di bawah gabungannya memutuskan untuk bertanding di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu tanpa mempunyai kerusi buat MUDA. 

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dibincangkan dan diputuskan selepas melalui proses yang panjang selaras dengan amalan politik bersama. 

Bagaimanapun,  ditanya mengenai hasrat MUDA, Anwar berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum diputuskan oleh pimpinan. 

“Kita telah memutus dan memuktamadkan, setakat ini keputusan jumlahnya adalah DAP  kekal lapan kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan dan Keadilan (PKR) 11.

“Dalam pembahagian Parlimen untuk Melaka, kita juga putuskan PKR kekal dua kerusi, Amanah kekal dua manakala DAP akan tambah Alor Gajah yang juga kawasan tradisional ditandingi sejak awal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, hari ini. 

Hadir sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng. 

Rabu lepas, MUDA mengumumkan akan meletakkan calon bertanding dalam PRN itu atas tiket PH, namun rundingan mengenainya belum dimuktamadkan

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perbincangan telah diadakan beberapa kali, namun sehingga kini belum ada kata putus berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pakatan itu juga sebulat suara memutuskan untuk menggunakan logo PH bagi menghadapi PRN itu nanti. 

Katanya, pihaknya juga memutuskan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari untuk mengetuai kempen pakatan itu dalam menghadapi PRN itu. 

“Oleh itu, seluruh kekuatan PH di mana DAP, Amanah dan PKR hanya menggunakan logo PH. Jadi, kita berjuang atas satu logo, pendirian dan satu manifesto di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN