PRN Melaka: Dua penjuru mustahil - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Dua penjuru mustahil

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mustahil untuk direalisasikan berikutan pendirian UMNO Melaka menolak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

UMNO sehingga kini be­lum memutuskan sama ada perlu bekerjasama dengan Pas dalam PRN Melaka walaupun masih menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Pas mengambil prinsip tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) selain kekal mempertahan penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum termasuk PRN Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Da­­tuk Seri Mohd. Ali Mohamad berkata, ia selaras dengan kete­tapan Perhimpunan Agung UM­NO 2020 yang menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

“Ikut suara akar umbi. Kita tidak akan bersama dengan Ber­­satu sebab itu keputusan me­­syuarat Agung lepas. Kalau Pusat meminta kita bertanding secara solo, kita dah bersedia pun sebenarnya.

“Saya yakin setelah melihat kekalahan lalu pada 2018, de­ngan perubahan kerajaan yang tidak stabil amat menjejaskan rakyat. Saya yakin rakyat inginkan kestabilan kerana rekod Barisan Nasional (BN) sejak mula Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga kita kalah pada PRU-14, rakyat boleh buat peni­laian. BN dah berikan kestabilan politik di negara ini,” katanya sema­lam.

Beliau turut berharap agar Pas bersama UMNO dalam PRN ini demi mengukuhkan MN.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas turut merasakan usaha untuk memastikan pertandingan satu lawan satu agak tipis selepas melihat kepada situasi semasa UMNO yang enggan menjalinkan kerjasama dengan PN.

Katanya, Pas bagaimanapun akan berusaha bagi mengelak pertembungan tiga penjuru membabitkan PN dan BN yang pastinya akan menguntungkan lawan.

Justeru, Hashim mengingatkan kepentingan penyatuan ummah bagi memastikan kemenangan dapat direalisasikan bukan sahaja dalam PRN Melaka sebaliknya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Seperti yang saya ingatkan selalu, perpecahan sehingga berlakunya pertembungan tiga penjuru hanya menguntungkan pihak lawan. Pihak lawan sememangnya menanti kita berpecah.

“Jika PN dan UMNO sendiri ditakdirkan kalah disebabkan pertembungan tiga penjuru itu, yang rugi adalah semua antara kita iaitu Pas, UMNO dan Bersatu sendiri. Jadi fikirlah sebaik-baiknya dalam mempertahan penyatuan ummah ini.

“Saya lihat harapan tersebut agak tipis (dua penjuru) namun usaha ke arah mengelak pertembungan tiga penjuru tetap diteruskan. Apa yang pasti, pertembungan tiga penjuru hanya merugikan kita semua dan peluang untuk menang dalam PRN Melaka mungkin agak sukar jika berlaku pertembu­ngan tiga penjuru,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pertembungan se­kurang-kurangnya tiga penjuru dijangka berlaku dalam PRN Melaka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Meskipun Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebelum ini disokong oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan seorang wakil rakyat Bebas, tidak bermakna UMNO dan Bersatu boleh bekerjasama ketika PRN apatah lagi berunding dalam pengagihan kerusi.

Sementara itu, Hashim berkata, MN boleh dipertahankan sekiranya UMNO mempunyai semangat memperkasakan per­paduan ummah dan me­ngambil sikap bertolak ansur demi penyatuan Melayu Islam di negara ini.

Bagaimanapun, tegasnya,­ Pas sekali lagi menegaskan tidak akan meninggalkan PN yang dibentuk bersama Bersatu selain kekal dengan prinsip mempertahan penyatuan ummah bagi menghadapi PRU15 termasuk PRN Melaka.

Katanya, jalan untuk mempertahan MN dan penyatuan ummah itu sentiasa ada dan ia sememangnya menjadi tuntu­tan di dalam Islam supaya bersatu.

“Jadi kita berharap kepemimpinan UMNO dan Bersatu supaya memikir serta mengkaji sedalam-dalamnya bagi mempertahan penyatuan ummah ini. Perpecahan sehingga berlakunya pertembungan tiga penjuru hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.

Katanya, pendirian Pas selama ini jelas mempertahan­kan penyatuan ummah dengan bekerjasama dengan Bersatu dan juga UMNO.

“Andai kata kita pilih MN dan tolak PN, Pas sendiri akan menjadi punca perpecahan penyatuan ummah. Begitu juga sebaliknya jika Pas memilih PN menolak MN. Namun jika ditak­dirkan juga berlaku pertembu­ngan, Pas mempunyai pertimbangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Facebook beliau berkata, UMNO tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN dalam persiapannya menghadapi PRU-15 sekali gus mengganggu serta menyekat kelancaran strategi dan gerak kerja parti.

Katanya, sudah jelas PN yang dibarisi Bersatu dan Pas telah pun mengumumkan mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×