Peneroka rugi jika sawit segar tidak dituai - Utusan Malaysia

Peneroka rugi jika sawit segar tidak dituai

Gambar hiasan - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peneroka Felda mengalami kerugian besar sekiranya buah tandan segar sawit tidak dituai dalam tempoh antara 10 hingga 15 hari selepas buahnya mulai gugur.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, buah sawit yang matang akan luruh antara enam atau tujuh biji sebelum boleh dituai.

Namun, menurutnya, apabila buah segar itu tidak dituai dalam tempoh antara 10 hingga 15 hari, semua buahnya akan terlerai daripada tandan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, jika ketiadaan buruh ladang terus berlaku, kira-kira 110,000 peneroka Felda di seluruh negara akan mengalami kerugian disebabkan BTS yang tidak dapat dituai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Apabila tidak dituai sehingga habis tempoh buah masak, maka buah sawit akan lerai daripada tandan dan buah yang lerai biasanya tidak akan dikutip.

“Sebaliknya, peneroka terpaksa mengeluarkan kos untuk tenaga kerja lain bagi mengutip buah yang lerai daripada tangkainya dan ini sudah tentu menyebabkan peneroka kerugian.

“Inilah yang dialami oleh kira-kira 110,000 peneroka Felda namun bukan semua kerana ada yang buat sendiri, kira-kira 95,000 peneroka yang bersama Felda,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketiadaan buruh asing untuk kerja ladang memang ketara dalam industri sawit di seluruh negara, bukan di Felda sahaja tetapi juga termasuk di syarikat perladangan lain.

Beliau berkata, namun kerajaan sudah meluluskan kemasukan pekerja asing baru-baru ini.

“Kita tak tahu berapa ramai buruh asing yang boleh masuk tapi banyak kos yang kena dikeluarkan kerana ia melibatkan pro­ses kuarantin selama sebulan sebelum mereka dibawa ke ladang.

“Apa pun peneroka berharap kerajaan dapat menyegerakan pengambil buruh asing untuk mengatasi masalah buah sawit yang tidak dapat dituai,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan laporan mengenai isu kekurangan buruh asing di sektor perladangan menyebabkan BTS membusuk di pokok kerana tidak sempat dituai dalam tempoh dua pusingan sebulan.

Berasaskan kepada harga sawit semasa sekitar RM1,100 satu tan metrik, peneroka kerugian ribuan ringgit sebulan sekiranya BTS tidak dapat dituai mengikut tempoh ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini