Penduduk terkejut halaman rumah jadi aliran sungai - Utusan Malaysia

Penduduk terkejut halaman rumah jadi aliran sungai

Empat kanak-kanak gembira bermain air di aliran air baharu yang terbentuk selepas kejadian banjir di Kampung Setol, Yan, Kedah, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Dua keluarga di Kampung Setol di sini terkejut apabila melihat dua aliran air baharu terbentuk seperti sungai yang melalui kiri dan kanan rumah mereka selepas banjir surut.

Aliran baharu itu dipercayai berlaku setelah air dari Sungai Titi Hayun berdekatan rumah dua keluarga tersebut melimpah dan mengalir laju selepas sungai tersebut semakin cetek dan sempit berikutan kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Penduduk terbabit, Saiful Azuan Md. Isa, 48, berkata, walaupun banjir di kampung itu surut malam kelmarin namun dua aliran air tersebut masih deras.

Menurutnya, aliran air baharu itu berpunca dari Sungai Titi Hayun yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Katanya, walaupun aliran air itu hanya sedalam 0.25 meter tetapi ia belum berhenti.

“Banjir di kampung ini berlaku pukul 6.30 petang selepas hujan lebat dua jam sebelum itu dan surut pada pukul 10 malam pada hari sama.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila terdapat dua aliran air baharu di kiri dan kanan berdekatan rumah saya selepas banjir surut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Setol, di sini semalam.

Pada 29 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini mengubah landskap beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Antara perubahan ketara ialah terbentuknya lima aliran sungai baharu di kawasan dusun dan kebun getah. Bahkan, empat buah rumah di Jalan Simpang Tiga Kampung Jawa di sini pula kelihatan terkepung selepas terbentuk aliran sungai baharu itu.

Saiful memberitahu, aliran air baharu itu didapati mengalir ke anak-anak sungai berdekatan.

“Saya mengharapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja-kerja mendalamkan semula Sungai Titi Hayun dengan segera untuk mengelakkan kejadian limpahan air yang lebih besar selepas ini,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mat berkata, dia bimbang aliran air baharu berdekatan rumahnya menjadi lebih luas dan dalam serta mengalir deras sekiranya berlaku hujan lebat selepas ini.

Sehubungan itu, katanya, dia meminta JPS segera membina benteng untuk menghalang aliran air baharu itu terus mengalir berdekatan rumahnya.

“Aliran air itu pernah terbentuk ketika kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu tetapi aliran air itu berhenti selepas dua jam bencana tersebut, namun kali ini aliran air itu berlarutan dari malam semalam sehingga hari ini (semalam),” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×