KUALA LUMPUR: Individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor-faktor perubatan seperti alahan kepada vaksin boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera boleh dimohon melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan borang khas iaitu Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu yang telah disahkan oleh pakar perubatan.
Bagaimanapun, katanya, untuk mendapatkan sijil tersebut, individu perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat individu tersebut.
“Pakar perubatan akan menasihatkan pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan.
“Sekiranya individu tersebut disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab-sebab perubatan, individu tersebut perlu mematuhi SOP dengan lebih ketat secara kendiri seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan lain-lain disebabkan individu tersebut lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, pakar perubatan yang boleh mengesahkannya terdiri daripada pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu tersebut, pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat semasa ketiadaan pakar perubatan di hospital kerajaan yang berpakar atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.
“Jika permohonan adalah lengkap dan mengikuti syarat yang telah ditetapkan, sijil digital melalui MySejahtera akan diperolehi dalam tempoh satu minggu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berhubung alternatif yang tersedia buat individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor-faktor berkaitan kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan tersebut untuk tujuan pergerakan fizikal.-UTUSAN ONLINE










