Menitis air mata dapat pergi umrah - Utusan Malaysia

Menitis air mata dapat pergi umrah

KUMPULAN pertama jemaah umrah terdiri daripada 11 orang berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam, apabila kerajaan membuka sempadan negara, Isnin lalu. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kumpulan pertama je­maah umrah dari negara ini yang berlepas ke tanah suci semalam sebak dan menitiskan air mata selepas hampir dua tahun hajat ke tanah suci tertangguh.

Mereka merupakan 11 jemaah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 7.50 malam.

Perasaan gembira, teruja dan sebak dapat dilihat dari raut wajah para jemaah umrah pertama ke tanah suci selepas pintu sempadan negara dibuka.

Malah, mereka tidak dapat menyembunyikan reaksi terharu dipilih Allah SWT sebagai tetamu sulung ke tanah suci selepas hampir dua tahun terkandas.

Kumpulan sulung itu akan berada di sana selama 10 hari 13 malam dengan memasuki Madinah terlebih dahulu sebelum menuju ke Mekah untuk umrah sekali sahaja.

Mereka turut ditemani dua petugas agensi umrah dan ziarah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. berpangkalan di Putrajaya.

Antara jemaah terbabit ialah bekas wartawan Utusan Malaysia, Razali Awang, 51, yang tidak percaya dapat menunaikan umrah walaupun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat ketat.

“Mujur ada pengalaman banyak kali buat umrah sebelum pandemik Covid-19 tetapi kali ini cabaran amat berbeza dan saya rasa amat bertuah,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Bagi seorang kakitangan swasta, Noriani Ramli, 40, beliau meluahkan kegembiraan walaupun terpaksa datang ja­uh dari Kuantan, Pahang dan hanya menerima tawaran itu pada Isnin lalu.

“Saya bersyukur dan memang mengakui berasa amat terkejut kerana tidak me­nyangka akan jadi kumpulan yang terawal dari Malaysia mengerjakan ibadah umrah,” katanya.

Rakannya, Nur Fazila Abdul Rahim, 38, turut sependapat malah enggan melepaskan peluang keemasan itu setelah beberapa tahun memasang impian datang ke kota suci.

“Apabila dengar pengumuman yang kata boleh ke luar negara, saya cuba hubungi banyak agensi umrah dan bernasib baik ada kekosongan walaupun dimaklumkan kelmarin,” jelasnya.

Tidak ketinggalan peniaga dari Melaka, Hasmadi Munap, 46, yang menitiskan air mata syukur setelah kecewa gagal mengerjakan umrah selepas balik dari ibadah haji pada 2019 lalu.

“Memang syahdu dapat je­jak kaki sekali lagi ke sana malah saya amat sebak walaupun diberi masa singkat dan terpaksa memperbaharui pasport yang sudah tamat tempoh,” katanya.

Seorang jurugambar dari Pontian, Johor, Mohd. Hozroul Zainal, 27, juga berdebar kerana ini kali pertama beliau ke Tanah Suci dan lebih unik dalam suasana protokol norma yang baharu.

“Memang seronok dapat panggilan ke sana apatah lagi berpengalaman cipta sejarah menjadi kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia sejurus pintu sempadan dibuka,” katanya.

Sementara itu, turut berpeluang mengerjakan umrah, pelakon Ashraf Muslim, 40, tidak menyangka diberi peluang untuk menjadi kumpulan jemaah umrah pertama.

“Alhamdulillah rezeki sa­ya. Kebetulan baru seminggu habis penggambaran satu si­ri drama tempatan dan memang ada gap (lapang) kosong dalam hampir sebulan,” katanya.

Menurut pelakon ber­ke­na­an, beliau hanya menerima tawaran untuk umrah dalam dua hari lepas dan terus memu­tuskan semalam untuk me­lakukan umrah ke kota Ta­nah Haram itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×