PETALING JAYA: Pendekatan berlembut dan mendidik sudah berakhir dan tiba masanya memasuki fasa tegas terhadap pihak menyebarkan dakyah serong terhadap vaksin Covid-19.
Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah sehabis daya memberikan pendedahan dan berusaha membetulkan pandangan sempit terhadap vaksin Covid-19, sebaliknya golongan antivaksin terus memperhebatkan kegiatan menyebarkan pandangan negatif mengenainya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan, kerajaan perlu bertegas dan tidak boleh berlembut lagi kerana ia melibatkan nyawa manusia.
“Kalau sudah sampai melibatkan nyawa, kerajaan perlu tegas dan tidak boleh berlembut lagi kerana ini merupakan soal nyawa seluruh rakyat,” katanya di sini semalam.
Sehingga kini sebanyak 23 juta rakyat negara ini telah melengkapkan vaksinasi manakala 25.2 juta menerima dos pertama. Sehingga semalam, angka kematian mencatat 28,062 orang sementara kes aktif 85,916 menjadikan keseluruhannya berjumlah 2.4 juta orang setakat ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihaknya komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin, malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak.
Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya meminta kerajaan memberi kesedaran kepada mereka mengenai ke-perluan menerima vaksin.
Khairy bagaimanapun menjelaskan, kerajaan telah sehabis usaha memberi penerangan berhubung kebaikan dan keberkesanan vaksin Covid-19.
Kumpulan antivaksin bukan sahaja terlepas menikmati kelonggaran seperti merentas negeri dan ke luar negara, malah tidak dibenarkan mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci dan pergi ke masjid untuk menunaikan ibadah.
Itu antara prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
Malah beberapa sektor penting menetapkan vaksin sebagai syarat utama memasuki premis misalnya kebenaran memasuki pejabat untuk kembali bekerja dan pulang ke institut pengajian tinggi (IPT), sekali gus tiada ruang rakyat untuk tidak mengambil pelalian tersebut.
Selain itu, golongan yang belum mengambil vaksin tidak boleh melakukan aktiviti sosial seperti makan di restoran, menonton wayang dan melakukan aktiviti riadah di kawasan tertutup serta mengunjungi destinasi pelancongan.
Dr. Rafidah memberitahu, meskipun kerajaan belum menggubal undang-undang kewajipan mengambil vaksin, namun kemudahan ditetapkan bagi individu lengkap divaksin secara tidak langsung menyebabkan rakyat terpaksa mengambil pelalian berkenaan.
Katanya, tiada isu diskriminasi membabitkan antara penerima dan menolak vaksin sebaliknya soal keselamatan awam menjadi fokus untuk setiap rakyat.
“Walaupun Malaysia belum lagi tegas seperti beberapa negara lain yang mewajibkan pengambilan vaksin dan mengenakan hukuman terhadap pihak ingkar, tetapi syarat vaksin dalam SOP PPN seolah-olah menunjukkan suntikan ini merupakan satu kewajipan.
“Kalau tidak ambil vaksin, macam mana dia mahu pergi ke Tanah Suci atau masjid? Bagi pelajar pula, dia boleh masuk kuliah memandangkan Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat kembali ke kampus,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak memberitahu, jika masih terdapat individu tidak mengambil vaksin bukan sahaja menyebabkan peningkatan jangkitan kes Covid-19, malah boleh mencetuskan varian baharu.
Menurut beliau, varian baharu Covid-19 muncul apabila ramai dijangkiti wabak dan akhirnya memberikan kesan kepada keberkesanan vaksin itu sendiri.
“Jadi, pokok pangkal adalah perlu semua rakyat untuk disuntik vaksin untuk mengurangkan risiko virus ini. Memang diakui orang sudah divaksin boleh dijangkiti Covid-19 tetapi tahap keseriusan sakit dialami manakala penyebaran adalah lebih rendah berbanding tidak divaksin.
“Maka bagi yang enggan divaksin, pergerakan mereka perlu dihadkan berbanding individu telah divaksin. Semua itu bagi mengurangkan kemasukan ke hospital kerana golongan belum divaksin berpotensi tinggi mendapat tahap Covid-19 kategori tiga, empat dan lima,” jelasnya. – UTUSAN










