Malaysia sumbang RM5 juta bina semula klinik di Gaza - Utusan Malaysia

Malaysia sumbang RM5 juta bina semula klinik di Gaza

INFRASTRUKTUR yang musnah dalam serangan udara tentera Zionis di Semenanjung Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia memberi sumbangan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan semula Klinik Al-Rimal di Gaza yang musnah diserang tentera rejim Israel pada Mei lalu.

Perkara itu dimuktamadkan melalui Nota Pertukaran dengan Kerajaan Palestin hari ini menggunakan peruntukan dari Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Dana ini di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perdana Menteri dan klinik itu menempatkan makmal pengujian Covid-19,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.

Nota bersejarah tersebut ditandatangani bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Wisma Putra di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, sumbangan itu mencerminkan sokongan teguh Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Palestin yang menderita akibat siri serangan biadab Israel ke atas Gaza.

Insiden itu telah memusnahkan banyak prasarana awam di Gaza termasuk fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan dan perubatan kritikal ketika pandemik Covid-19.

Malaysia juga memutuskan untuk membuat sumbangan berjadual secara jangka panjang kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Inisiatif itu bagi menyokong usaha pihak berkenaan memberikan pertolongan kepada rakyat Palestin dan sebagai tambahan ke atas sumbangan kewangan terdahulu kepada agensi itu.

“Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan AS$1 juta yang akan disalurkan secara tahunan iaitu AS$200,000 setiap tahun bagi tempoh lima tahun sehingga 2025,” jelas Wisma Putra.

Justeru katanya, sumbangan diharap akan melengkapi usaha dan bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk dilaksanakan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu.

Kenyataan itu menambah, Malaysia akan terus menyokong perjuangan Palestin di pelbagai peringkat serta menghulurkan bantuan dan pembangunan kapasiti kepada negara tersebut.

Hubungan kedua-dua negara itu amat erat malah Palestin menamakan satu laluan penting di Gaza sebagai Malaysia Street pada 31 Ogos lalu bersempena Hari Kebangsaan Malaysia.

Ia sebagai tanda penghargaan ke atas keprihatinan Malaysia membina banyak sekolah di negara itu selain lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.