Kuat kuasa akta kawalan harga bahan binaan - Utusan Malaysia

Kuat kuasa akta kawalan harga bahan binaan

SEBAHAGIAN besar hutang bertujuan untuk pengumpulan kekayaan seperti hartanah kediaman. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menguatkuasakan akta kawalan harga bagi memastikan harga bahan binaan tidak terus meningkat, sekali gus menambah masalah kepada kontraktor terutamanya kontraktor kecil.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, harga bahan binaan terutamanya besi semakin mahal malah kenaikan harga berlaku setiap dua ming­gu.

Jelasnya, bukan itu sahaja, penurunan harga langsung tidak berlaku sejak tahun lalu menyebabkan pihak kontraktor terus dihimpit masalah.

“Walaupun sektor pembina­an sudah rancak semula selepas diberi kebenaran baru-baru ini, tetapi kita melihat kenaikan harga barang terus menyukarkan pemain industri binaan.

“Tambahan pula, pihak pemberi projek masih menilai projek mengikut kadar harga lama. Bagaimana kami mahu mendapatkan keuntungan sekiranya harga kos semakin meningkat? Inilah masalah yang dihadapi oleh kami terutama kontraktor kecil di seluruh malaysia.

“Justeru, kerajaan perlu se­gera menguatkuasakan sesuatu akta atau garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pembekal dan penjual bahan binaan ini agar mereka tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau turut berharap pada tahun hadapan, projek bagi kontraktor kecil diagihkan secara undian berpusat dan diselenggarakan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Ini kerana jelasnya, PKK di bawah MEDAC tiada kepenti­ngan dalam perolehan seterus­nya menyaksikan undian yang lebih telus.

“Kita sudah lihat ada pihak-pihak yang ‘mengatur’ pemberian projek ini. Contohnya, ada 20 projek namun yang masuk dalam proses undian hanya satu projek sahaja manakala selebihnya diberikan secara terus kepada syarikat kontraktor.

“Penglibatan pihak politik mengekang kontraktor kecil untuk mendapatkan projek. Apabila menggunakan orang politik sebagai orang tengah, pemberi projek terpaksa memberi projek kepada mereka.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku lagi dalam masa sukar ini. Jumlah kontraktor kini sudah hampir mencecah 40,000, jika pengahihan projek tidak telus, banyak syarikat kontraktor akan rugi dan hanya kartel sahaja untung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN