SHAH ALAM: Selepas hampir dua tahun berniaga secara dalam talian akibat pandemik Covid-19, kedai makan ala medan selera Koley Park Station di Kampung Melayu Subang, dekat sini kembali dibuka.
Pemiknya, Fakhruddin Mohd.Arif, 36, berkata, bukan mudah untuk kembali menarik pelanggan datang ke kedai yang mana sebelum ini mereka sudah lama memesan dan membeli makanan dengan aplikasi grab makanan.
“Kita kembali beroperasi secara ‘dine in’ di Koley Park Station dan menjual makanan digemari penduduk setempat.
“Kita ada kedai makan masakan ala carte, sate, masakan Sarawak, western dan tempoyak ikan patin selain aneka minuman,” katanya pada Program Sumbangan 200 Pek Makanan oleh Kokkokk Chicken Roasted Kepada Penduduk Kampung Melayu Subang yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor, semalam.
Fakhruddin berkata, Koley Park Station diibaratkan mati hidup semula setelah lama tidak beroperasi secara normal.
“Bak kata pepatah ‘perlahan-perlahan kayuh’. Saya berharap pandemik Covid-19 segera berakhir dan perniagaan yang tidak beroperasi secara normal kekal menerima pelanggan dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN ONLINE