SHAH ALAM: Tindakan sebuah kilang melebur skrap aluminium tidak memasang alat kawalan pencemaran udara mengundang padah apabila premis itu diserbu pihak berkuasa di Semenyih semalam.
Serbuan itu dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, pukul 9.30 pagi.
Pengarah JAS negeri, Nor Aziah Jaafar berkata, operasi dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak minggu lalu.
Menurut beliau, siasatan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti melebur skrap aluminium tanpa mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Kesalahan tanpa kelulusan adalah mengikut Seksyen 34A(2)Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Pemeriksaan turut mendapati kilang berkenaan tidak memasang alat kawalan pencemaran udara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Nor Aziah, pihaknya mengambil tindakan serta-merta mengikut peruntukan Seksyen 38(1)(a) AKAS 1974.
“Kita menahan semua operasi kelengkapan proses (POK) kilang itu bagi menghentikan pencemaran udara.
“Selain itu, tiga sampel terdiri daripada skrap aluminium serta sisa proses diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” ujarnya.- UTUSAN