PENDANG: Seorang ibu sanggup menunggang motosikal sejauh 10 kilometer (km) ke sekolah untuk mendapatkan modul pembelajaran bagi memudahkan tiga anaknya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana capaian internet lemah di rumahnya di Kampung Bukit Perak dekat sini.
Menurut Noor Janatul Abd.Razak, 33, dia berbuat demikian kerana tidak mahu anaknya, Nur Auni Safiah,13, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, Nur Afrina Amani, 9, dan Nur Nadwatul Hawa Muhammad Firdaus, 8, masing-masing belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru di sini ketinggalan dalam pelajaran.
Katanya, anak-anak sering merungut mereka tidak dapat mengikuti PdPR kerana capaian internet yang lemah.
“Saya tiada pilihan, selain mendapatkan modul pembelajaran tersebut yang disediakan pihak sekolah kepada pelajar yang tidak dapat mengikuti PdPR.
“Saya terpaksa menunggang motosikal untuk mengambil modul pembelajaran di sekolah tersebut sejak 8 November 2020,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Perak, di sini semalam.
Katanya, dia akan membawa anak-anaknya yang ingin mengikuti kelas secara dalam talian ke rumah nenek mereka, Safina Ramli, 57, di Kampung Baru di sini sejauh 10 km yang mempunyai capaian internet lebih lancar.
“Saya lebih selesa anak-anak menggunakan modul mata pelajaran yang saya ambil di sekolah berbanding belajar dalam talian menggunakan telefon pintar,” ujarnya. – UTUSAN