PETALING JAYA: Kira-kira 400,000 atau 80 peratus daripada 500,000 peladang dan pekebun kecil di seluruh negara dihimpit kenaikan harga baja serta racun serangga sejak sebulan lalu.
Peningkatan harga itu bukan sahaja menyebabkan produktiviti dan pengeluaran hasil tani terjejas tetapi mengurangkan pendapatan pekebun apabila input menghasilkan projek pertanian seperti sayur lebih mahal daripada produk dikeluarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Mazlan Aliman berkata, lebih merumitkan apabila berlaku krisis dunia sama ada peperangan atau pandemik yang menjejaskan harga tanaman dan makanan.
“Ada juga manipulasi pihak tertentu yang mengambil kesempatan sesuka hati dan sehingga hari ini, kita tidak ada kawalan terhadap makanan ternakan bagi golongan petani serta peladang terlibat.
“Hari ini, kita tidak dapat kawal harga dan berlaku kenaikan harga baja yang begitu tinggi. Peladang tidak boleh untung. Saya boleh anggarkan lebih kurang 70 hingga 80 peratus daripada kami terpaksa berdepan dengan bebanan ini.
“Import baja dan racun serangga dari negara luar hanya menambah bebanan kepada petani atau peladang kerana mereka perlu turuti apa sahaja kenaikan yang berlaku. Sudah sampai masanya, kita mengiktiraf kepakaran dalam negara untuk sektor ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Adzmi Hassan berkata, kenaikan kos baja dan juga racun secara mendadak itu sangat membebankan para pekebun kecil, peladang dan petani serta menyebabkan jumlah kutipan hasil perladangan berkurangan.
“Jika dulu, satu beg baja itu berharga RM3 dan sekarang harganya telah menjadi dua kali ganda iaitu dengan RM6 untuk satu beg. Ini sudah tentu memberi kesan yang besar kepada peladang dan pekebun kecil kita.
“Apabila kos terhadap baja dan racun serangga perlu ditambah maka kita tidak lagi boleh membuat kutipan hasil dua kali setiap bulan kerana mahu jimat kos. Maka, produktiviti juga berkurang dan rendahlah bayaran kutipan yang diterima,” katanya.
Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong pula berkata, hampir 90 peratus bahan untuk pertanian seperti baja, racun dan benih adalah diimport dan faktor kenaikan harga bahan petroleum serta bahan mentah kurang menyebabkannya berlaku.
“Racun misalnya, sejak April lalu ia naik harga antara 20 hingga 30 peratus. Contohnya, jika harga racun RM80, ia naik RM100. Begitu juga racun rumpai, sejak April lalu naik 30 hingga 40 peratus.
“Kenaikan harga baja dan racun memang membebankan golongan petani kerana inputnya mahal tetapi harga produk masih sama. Jika berterusan mereka akan rugi,” katanya di sini semalam.
Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Pekebun-Pekebun Cameron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid pula berkata, mahu tidak mahu petani tetap perlu membeli baja dan racun pertanian walaupun harganya naik mendadak.
“Tidak tahu sampai bila petani mampu bertahan, harga input (baja dan racun) mahal, tetapi harga produk sama dan tidak berlaku kenaikan. Jika dijual mahal orang tidak mahu beli pula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Yong Peng Johor, Cheng Pai Hoe berkata, kenaikan baja daripada RM110 kepada RM150 bagi setiap beg membebankan golongan pekebun di kawasan itu.
Malah, harga racun bagi setiap tong berisi 20 liter bahan itu juga naik daripada RM230 kepada RM330 tanpa mengira jenama.
“Ramai ahli persatuan kami merungut kerana mereka sudahlah terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 kini terpaksa berhadapan pula isu kenaikan input pertanian yang merupakan perkara utama dalam penanaman sayur,” katanya. – UTUSAN ONLINE










