Guna logo Pas hanya pandangan peribadi - Zuraida - Utusan Malaysia

Guna logo Pas hanya pandangan peribadi – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan supaya parti yang mahu bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggunakan logo parti itu hanyalah pandangan peribadi semata-mata.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, idea dicetuskan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menggambarkan pendirian Pas sebagai sebuah organisasi parti.

“Saya rasa peringkat kepemimpinan belum lagi putuskan untuk muktamadkan semua itu kerana ketika ini ia masih  pada peringkat perbincangan, menilai dan sebagainya. 

“Peringkat memuktamadkan itu belum lagi ditentukan sehinggalah tiba pada waktu penamaan calon. Jadi, kita tunggulah penamaan calon, apa keputusannya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat proses pembuatan coklat di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia di Nilai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Tuan Ibrahim supaya semua parti yang bersetuju bekerjasama dengan Pas menggunakan satu logo iaitu logo Pas pada PRN Melaka, 20 November depan.

Menurut Zuraida, pihaknya percaya kepimpinan parti akan memikirkan strategi terbaik untuk memastikan Melaka akan terus berada di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka nanti. 

“Semestinya kepimpinan parti akan memikirkan kombinasi terbaik untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan bersepakat untuk bertanding pada PRN Melaka  menggunakan lambang PN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas yang diadakan. 

Khamis lalu pula, Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×