"Doakan anak syurga saya" - Utusan Malaysia

“Doakan anak syurga saya”

MOHD. Khairul (baju biru) pada pengebumian jenazah anaknya, Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul kanak-kanak autisme yang meninggal dunia selepas ditinggal dalam van, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian, Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul, 8, kanak-kanak autisme yang ditemukan maut selepas dipercayai ditinggalkan selama tiga jam di dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan,  di sini malam tadi.

Kanak-kanak malang itu dikebumikan kira-kira pukul 3 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Sendayan di sini selepas selesai proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

ALLAHYARHAM NUR KASRENA DARWISYAH MOHD. KHAIRUL

Bapa kanak-kanak itu, Mohd. Khairul ketika majlis pengebumian tersebut berkata, dia mendoakan semua supaya mendoakan buat anak syurganya itu.

Dia juga memohon maaf dan memohon dihalalkan makan minum anaknya serta memaafkan sekiranya anaknya ada melakukan kesalahan selama ini.

“Terima kasih kepada semua yang hadir, saya memohon maaf sekiranya anak saya ini ada melakukan kesalahan selama ini,” katanya ringkas di tanah perkuburan tersebut.

Usaha pihak media untuk mendapatkannya ahli keluarga kanak-kanak tersebut termasuk Mohd. Khairul dan isterinya, Juwita Jamil bagi mengetahui kisah lebih lanjut bagaimanapun gagal ekoran mereka enggan ditemubual.

Utusan Online hari ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu ditinggalkan tanpa sengaja oleh seorang pemandu van yang diberi tanggungjawab menghantar mangsa.

Beliau berkata, satu laporan polis berhubung kematian kanak-kanak autisme itu diterima pada pukul 7.46 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu van pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam kenderaannya dari pukul 2.30 hingga 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, sepanjang kejadian itu, van tersebut diletakkan di hadapan rumahnya dan apabila mangsa ditemukan dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya. 

Jelas beliau, susulan daripada kes tersebut, polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan.

“Perintah tahanan reman ke atas suspek akan dimohon bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN